Perlis Susun Lima Program Utama Rai Sambutan Hari Kebangsaan – Azlan Man

KANGAR, 30 Julai – Lima program utama bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 disusun di Perlis, mengambil peluang penganjuran secara fizikal sepenuhnya selepas dua tahun tidak dapat diadakan susulan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata program berkenaan dianjur bagi menyemarakkan lagi  semangat Keluarga Malaysia dan perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama dan keturunan di negeri ini.

Beliau berkata ia termasuk pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri hari ini dengan pelbagai aktiviti disertai orang ramai dan Khutbah Khas Merdeka di seluruh masjid, semalam.

“Selain itu, kita juga akan anjurkan pertandingan Foto Sempena Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Sayembara Puisi serta acara kemuncak iaitu Sambutan Ambang Merdeka dan Sambutan Hari Kebangsaan pada malam 30 Ogos,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di sini hari ini yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Hamdan Bahari, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan barisan Exco kerajaan negeri.

Azlan berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ membawa makna mendalam kepada seluruh rakyat yang hidup bersama sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

“Kita masih dapat hidup bersama dalam sebuah keluarga besar (Keluarga Malaysia) dan sama-sama hadapi pelbagai rintangan ‘hujan mahupun panas’ dalam membangunkan negara,” katanya.

Majlis pelancaran berkenaan yang bermula seawal 7 pagi mendapat sambutan ramai yang tidak melepaskan peluang mengikuti aktiviti yang turut disertai Azlan, barisan Exco dan pemimpin masyarakat.

Antara program dianjurkan ialah senaman aerobik, program Keluarga Malaysia Melangkah Bersama, nyanyian lagu Negaraku dan edaran Jalur Gemilang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.