Program Pembangunan Belia Perlu Dilaksana Secara Lebih Berfokus – Sulaiman

MELAKA, 29 Julai – Program pembangunan belia di Melaka perlu dilaksanakan menerusi pendekatan baharu yang lebih berfokus dan bersasar, selari dengan perkembangan semasa supaya mampu memberi impak dan hasil yang optimum bagi mengangkat pembangunan belia di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ini kerana gerakan belia di negeri itu tidak terlepas daripada berdepan dengan pelbagai cabaran dalam persekitaran global yang semakin kompetitif dan kompleks.

“Satu daripada inisiatif yang boleh dilaksanakan ialah menerusi konsep merentas pelaksana iaitu kerjasama rentas agensi bagi memastikan pembangunan belia di negara ini adalah secara bersama berdasarkan fungsi dan keupayaan setiap agensi.

“Pelaksanaan secara bersama ini akan membolehkan perkongsian sumber-sumber yang ada serta mengukuhkan lagi program pembangunan kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka, Sidang Dua, Penggal ke-33 di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Mohd Azhari Mohammad dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Sulaiman berkata golongan belia khususnya pemimpin pertubuhan mesti mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan karakter yang positif supaya dapat memimpin gerakan belia dengan lebih berkesan dan berwibawa.

Beliau berkata golongan belia di negeri itu juga diharap dapat terus memainkan peranan masing-masing untuk membantu Melaka menjadi sebuah negeri berdaya saing dalam segenap aspek setanding negeri lain yang lebih maju.

“Kerajaan negeri Melaka akan terus memberikan sokongan kepada pembangunan belia di negeri ini sejajar dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) di bawah Flagship Lapan ‘Melaka Sejahtera’ yang berhasrat untuk memartabatkan kedudukan belia,” katanya.

Sementara itu, Shanmugam berkata sebanyak 136 perwakilan daripada 20 persatuan belia di Melaka menghadiri persidangan sehari itu bagi mengetengahkan pelbagai isu pembangunan belia setempat untuk dibawa atau dibincangkan ke peringkat kerajaan negeri.

Beliau berkata antara isu yang akan diberi perhatian dalam persidangan berkenaan ialah impak kemelesetan ekonomi kepada belia, peluang pekerjaan dan kadar pengangguran, jaringan keselamatan sosial belia dan penyelarasan pelaksanaan program pembangunan belia di bawah peruntukan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Persidangan ini merupakan satu platform terbaik bagi mengangkat dan menyelesaikan masalah atau keinginan belia di sesuatu kawasan setempat itu dan penganjurannya selaras dengan fungsi Majlis Perundingan Belia Negara yang bertindak sebagai badan perunding dalam hal ehwal berhubung dengan pembangunan belia,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.