600 PoP Bakal Disediakan Di Johor

JOHOR BAHRU, 26 Julai – Kementerian Komunikasi dan Multimedia merancang menyediakan lebih 600 hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) khususnya di kawasan luar bandar di Johor dengan nilai keseluruhan projek sebanyak RM525.3 juta.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Fasa 1 pemasangan PoP akan bermula tahun ini melibatkan 50 berhampiran kawasan sekolah dan lima di kawasan perindustrian.

Katanya, Fasa 2 pula akan melihat pemasangan 568 PoP diperluaskan ke seluruh negeri.

“Saya berpeluang bertemu dan berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengenai hal-hal liputan komunikasi dan internet di Johor.

“Dengan (penyediaan PoP) ini, sudah tentu jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat ditembusi di kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk, di samping mendapat kebolehcapaian liputan 4G yang memberangsangkan,” kata Onn Hafiz menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Onn Hafiz berharap kebolehcapaian internet meluas bukan sahaja dapat membantu mengembangkan ekonomi luar bandar, malah lebih penting untuk membolehkan bahan pembelajaran dimuat turun bagi meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah.

“Kami juga berbincang mengenai perkhidmatan 5G yang sering diperkatakan. Harapan saya agar bila ia dilancar, kawasan ‘Greater Johor Bahru’ akan turut mendapat manfaat liputan 5G menyeluruh, dan seterusnya ke seluruh negeri.

“Kesemua usaha ini adalah ke arah memajukan negeri ini secara berterusan, demi kesejahteraan Bangsa Johor pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.