KETENGAH Keluar Hampir 4,000 Tan Makanan Setahun – Rahman

DUNGUN, 24 Julai – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berjaya mengeluarkan hampir 4,000 tan makanan setahun bagi menyokong strategi jaminan keselamatan makanan negara yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata strategi jaminan keselamatan makanan di bawah KETENGAH bermula tahun lalu dengan tumpuan kepada tiga bidang iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur.

“Seramai 508 usahawan tani di wilayah KETENGAH terlibat dalam projek jaminan keselamatan makanan dengan 269 orang daripadanya mengusahakan tanaman fertigasi, sayuran dan buah-buahan; ternakan unggas dan ruminan (169 orang); dan akuakultur (70 orang).

“Sebagai contoh, ladang ayam pedaging yang diusahakan di bawah syarikat Peneraju mampu menghasilkan 790,000 ayam setahun dan menyumbang kepada 4.64 peratus daripada pengeluaran keseluruhan ayam negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 29 kakitangan KETENGAH, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi KETENGAH Datuk Seri Dr Ahmad Said.

Menurut Abdul Rahman KETENGAH juga sedang dalam proses meluaskan projek ternakan ayam di tiga lokasi iaitu di Kampung Chemuak, Kampung Durian Mentangau dan Seri Bandi di sini.

Katanya pelaksanaan projek tersebut dijangka mampu menambah pengeluaran ayam sebanyak 246,000 ekor setahun menjadikan jumlah keseluruhan pengeluaran1.03 juta ekor setahun.

“Untuk strategi jangka panjang bagi memantapkan bidang pengeluaran makanan, KETENGAH sedang mengusahakan penanaman rumput napier (untuk makanan ternakan) di kawasan seluas 11 hektar dengan kos RM500,000.

“Selain itu, agensi itu juga membangunkan padang ragut untuk ternakan kerbau di tapak seluas 155 hektar yang mampu menampung 613 haiwan ruminan seperti kerbau dan lembu,” katanya.

Katanya KETENGAH juga akan memohon peruntukan dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12 untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan lagi hasil pengeluaran makanan sekali gus menampung keperluan yang semakin meningkat dalam negara. – BERNAMA