Kilang Baharu Samsung Sdiem Bernilai RM7 Bilion Bakal Wujudkan 1,300 Peluang Pekerjaan

SEREMBAN, 21 Julai – Pembinaan kilang baharu Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (SDIEM) di sini dengan nilai pelaburan sebanyak RM7 bilion bakal mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembangunan kilang baharu fasa dua itu melibatkan tujuh bangunan baharu dan stesen sub tambahan elektrik 132 kilovolt (KV) serta dijangka mula beroperasi pada 2025.

“Saya turut menghargai Samsung, salah satu syarikat elektronik terbesar di dunia dan jenama terkenal yang telah mula beroperasi di Malaysia sejak tahun 1990 lagi.

“Kilang baharu ini yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2025 nanti akan mampu untuk menghasilkan sebanyak 800 juta sel bateri setahun,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah kilang baharu itu yang disiarkan melalui rakaman video di sini hari ini.

Beliau berkata usaha Samsung SDIEM dan komitmen untuk memenuhi keperluan pasaran global bagi kegunaan kenderaan elektrik dunia adalah satu usaha yang membanggakan buat negara dan rakyat Malaysia secara amnya.

“Saya menghargai peranan yang dimainkan oleh Samsung dalam membangunkan industri berdasarkan teknologi hijau.

“Hal ini selaras dengan matlamat negara dalam mencapai karbon sifar bersih seawal 2050 sepertimana yang dinyatakan dalam strategi Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi Malaysia, industri ini penting dari segi sumbangan kepada keseluruhan ekosistem EV yang komprehensif.

“Saya yakin warga pekerja Keluarga Malaysia akan kekal berdaya tahan dan terus menyumbang bersama-sama dalam membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDI Co Ltd (Korea Selatan) Choi Yonho berkata hubungan antara Malaysia dan Samsung SDI adalah istimewa berikutan pada Februari 1991, Samsung SDI telah membangunkan kilang luar negara pertamanya di negara ini.

Katanya sejak itu, Samsung SDI telah menjadi syarikat pertama dunia dalam industri tiub sinar katod (CRT).

“Bermula dari 2024, bateri yang dihasilkan ini akan digunakan dalam pelbagai peranti termasuk peralatan elektrik, mobiliti mikro dan kenderaan elektrik yang akan menjadikan seluruh dunia ‘bergerak’ di atas bateri Samsung SDI,” katanya.

Katanya bateri itu menampilkan daya saing teknologi ‘super gap’ Samsung dengan kualiti terbaik, dikenali sebagai ‘PRiMX’, jenama asal Samsung SDI yang akan dihasilkan ratusan juta setiap tahun selain dieksport ke seluruh dunia.

Choi berkata pihaknya akan menjadikan Samsung SDIEM sebagai sebuah pusat industri bateri global melalui kerjasama semua warga kerja Samsung SDI, kerajaan Malaysia dan syarikat rakan kongsi.

“Di samping itu, selaras dengan strategi pengurusan berorientasikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Samsung SDI patuh dalam menunaikan tanggungjawab sosial kami terhadap alam sekitar, keselamatan dan pematuhan undang-undang,” katanya.

Samsung SDI merupakan sebuah anak syarikat di bawah Samsung Group di Korea yang memulakan pelaburannya di Malaysia sekitar 1990 melalui penubuhan syarikat Samsung Electron Devices Malaysia dalam sektor pembuatan CRT untuk televisyen.

Sejak penubuhan Samsung SDIEM pada November 2011 hingga Mei 2022, Samsung telah membuat pelaburan berjumlah RM3.8 bilion sekali gus menyumbang kepada kadar eksport tahunan Malaysia sebanyak RM2.5 bilion. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.