Kerajaan Sedia Bantu Perodua Luaskan Pasaran Luar Negara – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Kerajaan bersedia membantu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meluaskan pasaran sedia ada dan mencari pasaran baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, beliau mahu Perodua terus mempertingkatkan kebolehan pengeluarannya, sekali gus mencapai skala ekonomi yang kompetitif setaraf dengan syarikat-syarikat asing di rantau ini.

“Impak kemajuan industri automotif negara amat penting dan dapat dilihat melalui aktiviti ekonomi yang dijana melalui pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran teknikal, pindahan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis pelancaran Perodua Alza serba baharu hari ini.

Malah, menurutnya Perodua turut membuktikan komitmen berterusan kepada sektor automotif tempatan dengan pembelian komponen automotif sebanyak RM7 bilion secara purata setiap tahun.

Perdana Menteri berkata keuntungan daripada pembelian komponen tempatan ini dapat digunakan oleh syarikat-syarikat tempatan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing sama ada mengembangkan operasi ataupun melabur dalam teknologi baharu.

“Saya difahamkan terdapat syarikat komponen tempatan yang telah menjadi pembekal komponen kepada syarikat Daihatsu di Jepun.

“Ini satu pencapaian yang amat membanggakan negara kerana lazimnya kita import komponen dari Jepun tetapi kini, kita yang mengeksportkannya ke Jepun. Syabas saya ucapkan!,” ujar Ismail Sabri.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut berbangga dengan kegigihan Perodua mencari peluang bekerjasama dengan pelbagai kementerian untuk memajukan ekosistem industri automotif negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Perodua juga harus menjadi contoh oleh syarikat-syarikat tempatan yang lain yang mana kepentingan negara didahulukan demi kesejahteraan semua,” katanya.

Sementara itu, melihat kepada pertumbuhan industri automotif yang memberangsangkan, Ismail Sabri yakin Malaysia mampu mencapai sasaran jualan kenderaan sebanyak 600,000 unit bagi 2022, peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding 2021.

Sebanyak 61,624 kenderaan didaftarkan pada suku pertama 2022, meningkat sebanyak 6.4 peratus berbanding 57,909 kenderaan yang dijual pada tempoh yang sama 2021.

Pihak Perodua pula menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 247,800 unit, iaitu 30.2 peratus bagi tahun ini berbanding 190,291 kenderaan pada tahun lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.