Ahli Parlimen Parit Dilantik Sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif SPNB Baharu

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang baharu berkuat kuasa 15 Julai lepas.

SPNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan lantikan Mohd Nizar itu adalah bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha yang telah memegang jawatan itu sejak 2 April, tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, Mohd Nizar memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Utara Malaysia serta Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institut Agama Islam Negeri Imam Bonjol di Sumatera Barat, Indonesia.

Selain memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen, Mohd Nizar juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, serta Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan Parit.

“Kami mengalu-alukan pelantikan pengerusi baharu SPNB dalam barisan kepimpinan syarikat dan berharap beliau akan dapat menyuntik semangat untuk SPNB terus mencapai kecemerlangan di masa hadapan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.