TKR Manufacturing Rancang Tambah Pelaburan Di Melaka

MELAKA, 14 Julai – TKR Manufacturing (M) Sdn Bhd merancang untuk menambah pelaburannya di Melaka, kata Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pelaburan itu akan melibatkan penambahan bahagian pengeluaran di kilang tersebut, yang akan mewujudkan kira-kira 300 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

“Pada masa ini, kilang yang telah mula beroperasi sejak 1988 ini mempunyai 1,700 pekerja dengan 1,190 daripadanya adalah pekerja tempatan. Ia kini menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan mempertingkat pengetahuan dan kemahiran pekerja tempatan.

“Kilang ini memberi fokus kepada penghasilan pelbagai produk elektronik yang menghasilkan pulangan sebanyak RM360 juta setahun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang meluangkan masa kira-kira dua jam untuk mendengar dan melawat kilang tersebut di Kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini.

Hadir sama Pengarah Urusan TKR Manufacturing (M) Sdn Bhd Paul Nallasamy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi.

Ab Rauf berkata apa yang membanggakan adalah pengurusannya di Tokyo, Jepun yang memberi kepercayaan kepada anak-anak tempatan untuk menguruskan kilang tersebut sepenuhnya.

“Dengan teraju daripada anak-anak Melaka ini, mereka berjaya meningkatkan pengeluaran dan hasil kepada syarikat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.