Kurang 10 Peratus Peneroka Felda Pahang Belum Terima Suratan Hak Milik Tanah

BERA, 14 Julai – Hanya kurang 10 peratus atau 3,674 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Pahang yang belum menerima suratan hak milik tanah setakat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata penyerahan hak milik tersebut akan dilaksanakan kelak dengan kerjasama daripada pihak Felda supaya ia dapat diselesaikan dengan sempurna.

“Seramai 39,452 daripada 43,126 peneroka telah menerima suratan hak milik tanah masing-masing. Saya mohon kerjasama daripada Felda untuk menggembleng tenaga bersama jentera pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan semua peneroka Felda di Pahang ini memperoleh hak milik tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2022 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Felda Rentam di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata beliau akan menyerahkan suratan hak milik tanah kepada 712 peneroka di Felda Bukit Sagu 1, 2 dan 3 dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,154 unit rumah di bawah Program Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) telah disiapkan dan diserahkan kepada pemohon, manakala lebih 2,000 unit rumah lagi masih dalam peringkat pembinaan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menghargai usaha Felda yang mula melunaskan bayaran hutang susulan kerajaan negeri telah meluluskan 683 permohonan pemberian milikan tanah di dalam kawasan Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 kepada Felda, meliputi kawasan seluas kira-kira 3,927 hektar.

“Asalnya tuntutan ini lebih kurang RM86.39 juta, bagaimanapun selepas beberapa kali rayuan dibuat oleh pihak Felda, kerajaan negeri bersetuju memberi pengurangan 30 peratus terhadap jumlah hutang tersebut.

“Setakat ini, pihak Felda telah menjelaskan bayaran sebanyak RM28 juta dan baki hutang yang tertunggak kira-kira RM35 juta yang atas persetujuan bersama akan dilangsaikan sepenuhnya pada November tahun ini,” kata Wan Rosdy.

Menurutnya tuntutan tersebut penting supaya kerajaan negeri dapat meningkatkan perolehan hasil negeri, sekali gus memastikan lebih banyak pembangunan, bantuan dan inisiatif dapat disalurkan kepada rakyat.

Menyentuh mengenai sambutan hari peneroka Felda, beliau berkata Pahang mempunyai sejarah dan keistimewaan tersendiri apabila tanah rancangan Felda yang pertama di negara ini dibuka pada 1958, iaitu di Lurah Bilut, Bentong.

Lebih membanggakan, Pahang merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai tiga Wilayah Felda iaitu Felda Wilayah Kuantan, Felda Wilayah Jengka dan Felda Wilayah Mempaga yang secara keseluruhan seluas 203,013.24 hektar dan dihuni lebih 43,000 peneroka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.