KPLB Peruntuk RM19 Juta Laksana Projek Pembangunan Ekonomi Kampung – Mahdzir

KUALA NERANG, 14 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM19 juta bagi melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata PROSPEK yang melibatkan 16 projek itu dijalankan menerusi tiga komponen iaitu ekonomi, prasarana asas dan perumahan.

“Buat masa ini, terdapat 13 projek sambungan PROSPEK sedang dibangunkan dan PROSPEK di kawasan Pedu, di sini merupakan antara projek baharu yang dilaksanakan oleh KPLB pada tahun 2022.

“Projek di Pedu ini telah bermula dan tempoh pembangunannya sehingga lima tahun dengan kos keseluruhan berjumlah RM8 juta,” katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas PROSPEK Pedu, di Kampung Padang Setol di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB Mas Rizal Mohd Hilmi, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Datuk Kamarudin Abd Akib dan Pegawai Daerah Padang Terap Datuk Abdul Ghani @ Zulkifli Zainuddin.

Mahdzir berkata projek PROSPEK di Pedu itu dijangka memberi manfaat kepada lebih tiga ribu penduduk di mukim tersebut dan daerah Padang Terap.

Menurut beliau, fasa pembangunannya melibatkan 12 buah kampung di dalam Mukim Pedu yang mempunyai pelbagai aktiviti ekonomi sedia ada dan berpotensi untuk dibangunkan seperti pertanian, penternakan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

“Selain itu, sektor pelancongan juga antara aktiviti ekonomi yang telah dikenal pasti bagi pembangunan projek ini. Projek ini akan dilaksanakan oleh KEDA selaku agensi pelaksana dan dibantu oleh Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) selaku agensi pelaksana kajian.

“Pengembangan hasil produk khusus berasaskan tanaman durian merupakan salah satu fokus bagi komponen ekonomi untuk dilaksanakan dalam PROSPEK di Pedu ini,” kata beliau.

Untuk rekod, pelaksanaan PROSPEK bermula pada tahun 2018 menerusi dua projek rintis iaitu PROSPEK Rintis di Kampung Sidam, Kulim, Kedah dan Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu.

PROSPEK Rintis Kampung Sidam menjalankan aktiviti tanaman jagung dan pemprosesan produk berasaskan jagung, manakala Kampung Pasir Raja melaksanakan projek ternakan ikan air tawar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.