Rakyat Baling Memerlukan Sokongan Dari Semua Pihak – Azeez Rahim

BALING, 8  Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada parti khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta semua kepimpinan UMNO seluruh negara kerana memberi sumbangan kepada mangsa banjir.

Ini kerana katanya, sememangnya rakyat Baling memerlukan bantuan dengan segera bagi meringankan beban yang ditanggung sekarang.

“Sememangnya Baling amat memerlukan sokongan dan bantuan dari semua, tak kira yang ikut fahaman politik, yang tidak ada fahaman politik, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan kerajaan sendiri dan melihat semuanya sedang turun ke daerah Parlimen Baling.

“Sebagai orang yang bertanggungjawab dan diamanahkan oleh Allah swt bagi rakyat Baling sebagai Ahli Parlimen saya telah melakukan gerak kerja yang bersasar seperti contoh pihak FGV Felda telah datang membantu dan akan hantar ke satu kampung iaitu kampung hangus yang terdapat 42 buah rumah yang ditenggelami air. Sama ada mereka hendak tinggal seminggu cuci rumah ataupun memberi peralatan rumah dan mereka datang dengan badan bukan kerajaan sekali dan inilah yang kami harapkan.

“Bagi yang dari UMNO tidak ada masalah sebab akan berurusan dengan pejabat bahagian UMNO Baling tetapi yang bukan UMNO ini mereka tidak tahu, sebab jalan di kampung kami ini kecil dan memang akan memberi masalah besar dan impaknya. Kami tidak mahupun mengundang kesedihan apatahlagi hendak menyambut Aidil Adha ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Azeez yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling berharap sesiapa sahaja boleh datang ke sini memberi bantuan kepada mangsa banjir tetapi perlulah mesti mengikut prosedur.

“Kami sudah selaraskan dengan pejabat daerah, pejabat Parlimen Baling pun sudah sediakan gedung setor untuk letak barang.

“Kami telah memberikan maklumat didalam media sosial seperti Facebook seperti lokasi bilik gerakan, pejabat daerah, nombor telefon Ahli Parlimen Baling dan semuanya tertera di laman Facebook,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Baling itu lagi, setiap barang yang diterima akan diberikan label serta akan diberikan laporan lengkap kepada setiap pemberi yang memberi barang kepada mangsa banjir.

“Kita labelkan barang-barang dari Felda, UMNO Kepala Batas, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Kalau ada wakilnya dan nak beri pengagihan dan kami akan alu-alukan. Kami akan beri laporan penuh kepada semua pemberi-pemberi apabila penerima menerima.

“Kami cepat dapat memulihkannya  tapi barang-barang tak ada. 80 peratus mangsa banjir tak ada tilam, tak ada berus gigi, dapur, peti ais dan sebagainya malah macam-macam isu yang dihadapi sekarang,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.