Filem Mat Kilau Angkat Pahlawan Negara, Bukan Bawa Agenda Propaganda – Khaidhirah

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berharap rakyat Malaysia menghargai karya seni anak tempatan di samping mengambil mesej positif daripada filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Jelas beliau ini kerana banyak pengajaran yang disampaikan menerusi filem ini termasuk kepentingan hidup bersatu padu dan mempertahankan kedaulatan tanah air ini daripada pemikiran dan budaya asing yang tidak sesuai dengan norma masyarakat Timur di Malaysia.

“Inisiatif menghasilkan filem tempatan berdasarkan watak pahlawan bangsa perlu dipergiat. Negara Malaysia yang tertubuh ini hasil penentangan melawan penjajah ratusan tahun dan ini masanya pahlawan tempatan diangkat untuk ditatapkan kepada generasi masa kini.

“Satu artikel daripada Malaysiakini [1] telah menarik perhatian saya dengan mendakwa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebagai propaganda menimbulkan imej buruk kepada kaum bukan Melayu.

“Saya hairan mengapa persoalan ini timbul dan mengapa Malaysiakini cuba mengarus perdanakan naratif yang terpinggir sebegini?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rim malah berkata penjajahan di zaman penentangan Mat Kilau adalah sekitar tahun 1890an di mana konsep kerwarganegaraan Malaysia masih belum wujud lagi.

Tegas Khaidhirah lagi tidak relevan untuk mendakwa filem ini cuba menggambarkan keburukan sesuatu yang belum wujud.

“Saya sebagai penggiat seni dan penonton, melihat Filem Mat Kilau lebih kritikal kepada Bangsa Melayu berbanding bukan Melayu.

“Watak Pak Deris sebagai yang sanggup menjadi tali barut British demi kepentingan dirinya telah menyebabkan penentangan Mat Kilau dan orang Melayu dipatahkan.

“Malah watak Kapten Syers juga secara terus terang mengkritik orang Melayu yang terlalu bergantung harap dan mengambil kesempatan terhadap hak keistimewaan,” katanya.

Beliau malah mempersoal kewajaran golongan tertentu yang bersikap selektif seolah-olah kaum bukan Melayu cuba diberikan imej yang salah.

“Sekiranya ingin menggelarkan sekumpulan pihak sebagai rasis dan fasis, sebenarnya penjajah British lah yang menganuti fahaman tersebut.

“Penjajah melihat penduduk tanah jajahannya sebagai tidak bertamadun dan bangsa yang mundur.

“Penjajah percaya hanya mereka yang dibebankan untuk membawa kemajuan. Bukankah racial supremacy yang dibawa penjajah merupakan fasisme sebenar?” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.