Ketelusan PM Dari UMNO Bantu Rakyat, Berbeza Zaman PH Minta Rakyat Ikat Perut – Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad berpandangan tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub yang juga Naib Presiden UMNO dengan mengekalkan subsidi, tarif elektrik dan air serta mengapungkan harga ayam di pasaran amat baik dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat terbela.

Ini kerana katanya Naib Presiden UMNO itu memikirkan jauh ke hadapan permasalahan yang ditanggung oleh rakyat dan sanggup menyelami permasalahan serta kepentingan rakyat.

“Sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menaikkan tarif elektrik, air dan harga ayam sudah pasti akan mendatangkan kerumitan kepada rakyat. Langkah Naib Presiden UMNO ini adalah terbaik dan beliau memikirkan rakyat serta sanggup mengeluarkan subsidi demi kepentingan rakyat.

“Kalau tiada subsidi sudah pasti barang-barang lain akan turut ikut naik dan ianya merupakan tanda keprihatinan yang jelas dalam meringankan kos bebanan rakyat.

“Rakyat pada masa sekarang ini cukup tertekan dengan kenaikan harga barang selepas pandemik COVID-19. Semasa COVID lalu ramai rakyat yang hilang pekerjaan dan mereka pun belum stabil dalam kehidupan dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi oleh UMNO Online, di sini.

Mohd Noor yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan berkata semenjak negara ini diterajui oleh kepimpinan dari UMNO, perubahan kehidupan rakyat cukup harmoni berbanding zaman Pakatan Harapan (PH).

“Perdana Menteri dari UMNO ini cukup berbeza kerana memahami kesulitan yang dihadapi rakyat tapi semasa pemeritahan PH ramai terkesan kesusahan hidup dizamannya. Rakyat disuruhnya mengikat perut tetapi kehidupan, gaji pemimpin PH tetap sama.

“PH mengatakan negara ini akan bankrap kononnya dari pemerintahan BN maka ia melancarkan tabung harapan tetapi tabung tersebut telah menunjukkan kelemahan PH. Sebenarnya tabung tersebut hendak memburukkan UMNO/BN pada ketika itu,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, pada masa PH berkuasa banyak permasalahan dan ketirisan yang berlaku malah harta negara habis dijarahnya.

“Sewajarnya pelbagai aset harus dikekalkan agar dapat menjana pendapatan negara tapi apabila PH menjual aset tersebut semuanya sudajh tidak bermakna.

“Bukan hanya aset Tabung Haji malah sepanjang PH berkuasa banyak aset lain negara terjual dalam masa singkat seperti aset Khazanah, Axiata Investments Limited, Saham Tenaga Nasional Berhad (TNB), DRB-Hicom dan banyak lagi,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.