Anak Muda Serik ‘Gula-gula’ Dan Sikap Tamak Kuasa Pakatan Harapan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Golongan muda semakin serik dengan sikap tamak kuasa parti-parti politik kerana ianya seperti memperjudikan nasib mereka sebagai generasi masa hadapan negara, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Jelas beliau, semuanya bermula apabila ‘gula-gula’ yang diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu yang memberikan janji palsu khususnya membabitkan golongan ini.

“Anak muda ini tidak akan boleh tertipu lagi maknanya selepas ini sekiranya mana-mana parti yang cuba beri ‘gula-gula’ mereka tahu dah keikhlasan parti itu.

“Kalau nampak parti yang mengarut anak muda pasti tidak akan memilih sebab itu alhamdulillah berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor mereka tidak percaya kepada orang politik terutama selepas tertipu pada PRU-14 oleh PH,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Segmen Bual Bicara yang disiarkan secara langsung di Facebook Hello Malaysia malam tadi.

Sementara itu, Dr Akmal yang juga merupakan Exco Kesihatan Dan Antidadah Negeri Melaka berkata PRU-14 memberikan penanda aras yang baharu kepada Barisan Nasional (BN) kerana di sebalik kekalahan ianya memberikan anjakan luar biasa kepada parti ini.

Jelas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin itu lagi segalanya bermula pada PRN yang menyaksikan undi anak muda beralih kepada BN.

Bagaimanapun, katanya UMNO/BN tidak perlu terlalu selesa berhadapan dengan situasi tersebut malah perlu konsisten mendekati golongan ini kerana mereka merupakan undi penentu pada PRU-15 kelak.

“Statistik tidak pernah menipu, PRN kedua-dua negeri memang menunjukkan ada swing vote undi orang muda kepada BN… ini fakta bila situasi ini berlaku maknanya keyakinan mereka itu bertambah tetapi tidak semestinya ia akan kekal sampai bila-bila.

“Tetapi setakat hari ini momentum terutama pengundi-pengundi muda ini adalah ke arah BN sebab parti ini telah terbukti dengan kejayaan-kejayaan yang telah dilakukan sebelum PRU14 tetapi apabila diambil alih oleh PH lain pula yang jadi.

“Sudah semestinya orang muda bukan bodoh dan akan memilih mana-mana parti yang akan memberikan kebaikan pada dia,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.