RM360,000 Kepada TS Consultancy Untuk Cetak Al-Quran Bukan Bantu UMNO Daftar Pengundi

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa dua cek berjumlah RM360,000 dikeluarkan Yayasan Akalbudi (YAB) kepada syarikat TS Consultancy & Resources bertujuan untuk membantu parti UMNO mendaftarkan pengundi pada 2015.

Ahmad Zahid, 69, yang memegang jawatan sebagai Naib Presiden UMNO pada 2015, juga tidak mengetahui bahawa penubuhan syarikat itu, yang menyediakan khidmat pusat latihan, merupakan inisiatif parti politik tersebut.

“Saya nyatakan jumlah pembayaran RM360,000 yang dibuat YAB kepada TS Consultancy adalah bagi tujuan pembayaran percetakan al-Quran,” katanya yang turut memaklumkan percetakan al-Quran juga selari dengan khairat (kebajikan) Memorandum & Artikel pertubuhan yayasan itu.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, pada prosiding membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Raja Rozela: Setuju atau tidak, Datuk Seri sebagai Naib Presiden UMNO ketika itu telah dikecualikan daripada maklumat (inisiatif penubuhan TS Consultancy) itu?

Ahmad Zahid: Ia tidak pernah dibincangkan ketika mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, apatah lagi dengan saya (sebagai naib presiden).

Raja Rozela: Datuk Seri tak ingat keterangan Pengerusi TS Consultancy, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar di mahkamah yang mengatakan syarikatnya dibiayai oleh ibu pejabat UMNO?

Ahmad Zahid: Saya tidak tahu.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa beliau telah diberi taklimat oleh Wan Ahmad bahawa syarikat itu memerlukan bantuan kewangan YAB.

Katanya, apa yang diberitahu Wan Ahmad kepadanya adalah mandat untuk percetakan al-Quran telah diberikan kepada Yayasan Restu yang dipengerusikan oleh Datuk Latiff Mirasa.

Mengenai pemberian cek RM10 juta oleh YAB kepada Armada Holdings Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengimport dan pembekal arang batu, Ahmad Zahid berkata cek tersebut yang ditandatangani olehnya adalah untuk tujuan pelaburan.

Ahmad Zahid berkata beliau ada bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa iaitu suami kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bagi membincangkan mengenai projek arang batu itu pada Oktober 2015.

“Yang Arif, penjelasan yang diberikan oleh Datuk Wasi ialah syarikat itu (Armada) berhasrat untuk menjadi pembekal arang batu kepada subsidiari TNB (TNB Fuel Services Sdn Bhd) dan Datuk ‘K’ (Khalid) menjelaskan secara terperinci mengenai caj yang dikenakan oleh TNB kepada Armada untuk mendaftar sebagai kontraktor,” katanya.

Kepada soalan Raja Rozela, adakah Ahmad Zahid mengetahui bahawa Armada Holdings belum diperbadankan semasa cek RM10 juta diberikan kepadanya, Ahmad Zahid menjawab: “Di luar pengetahuan saya”.

Raja Rozela: Ini bermakna due diligence (semak sebelum keputusan) yang konon Datuk Seri buat tidak lengkap.

Ahmad Zahid: Setuju ia tidak lengkap.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. –
BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.