Perkemaskan Jentera Parti Dalam Keadaan Musuh Politik Bercelaru – Shahrul
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berpandangan dalam keadaan musuh politik yang tidak tentu hala, adalah amat wajar jentera parti memperkemaskan gerakan dan bukan saling menimbulkan pelbagai perkara yang boleh menghalangnya.
Jelas beliau ini adalah masa yang terbaik dan bukannya menjadi penghalang dan sebarang tindakan yang boleh memecah-belahkan parti.
“Di kala musuh di hadapan sedang tidak tahu arah, maka inilah masa yang terbaik untuk terus kekalkan momentum kejayaan ini. Janganlah kita sesekali menjadi penghalang dan mula memecah-belahkan parti keramat ini.
“Ingat bahawa kita semua telah bersetuju untuk misi utama kita adalah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU-15). Janganlah kerana isu dalaman menyebabkan kita hilang fokus terhadap sasaran utama kita,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya.
Dalam pada itu beliau turut sama mengingatkan agar masing-masing pelbagai peringkat terus bergerak ke depan.
“Akhir sekali, nasihat buat diri saya dan kalian semua, usahlah kita menjadi duri dalam daging dalam keluarga UMNO yang tercinta,” ujarnya. – UMNO Online