Penting BN Menang PRU15, Kembalikan Semula Sistem Perundangan Negara – Mohd Zaid

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Pemerhati politik dan pengamal undang-undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi memberi perubahan kepada sistem perundangan negara.

Beliau berkata perkara yang penting perlu dilaksanakan adalah memberikan kebebasan kepada institusi dalam perundangan daripada terkait antara satu sama lain.

“Saya harap dari hati kecil ini kalau BN menang dengan mandat yang kukuh untuk ubah perkara ini yang saya katakan sudah lama… ubah sistem untuk beri keadilan.

“Kita kena balik kepada perubahan kerana impak Peguam Negara dan pendakwa raya orang yang sama memberi kepincangan dan ia timbul memberi kesan hingga ke hari ini.

“Benda ini sudah lama… kita kena tukar sistem Peguam Negara, pendakwaan kerana sekiranya kedua perkara ini bebas sekaligus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan jadi bebas termasuk juga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak ada unsur-unsur ‘tolong atau bebaskan kawan saya’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Hello Malaysia, Berani Benar: Mencari Sinar Yang Hilang yang disiarkan secara langsung malam tadi di Facebook UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulas mengenai pendakwaan terpilih yang mengheret beberapa pemimpin UMNO atas pertuduhan di mahkamah.

Mohd Zaid malah meluahkan kekeliruan beliau apabila melihat kepada perbicaraan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya mereka berdua sahaja didakwa berdasarkan pertuduhan dihadapi.

“Ahmad Zahid dituduh terima duit daripada Ultra Kirana Sdn Bhd tapi dalam siasatan didapati orang lain pun terima duit juga, masa hendak dakwa Zahid adakah tidak tahu pihak lain pun ada terima duit ini? Kenapa tidak dipanggil mereka ini?

“Bila kita tanya kenapa, dia kata itu atas budi bicara kerana ada kuasa atas Perlembagaan manakala 1MDB semua orang kata… seluruh dunia Goldman Sachs tipu termasuk di negara-negara lain semua ada pendakwaan, adakah masuk akal apabila penipuan yang berlaku di Malaysia tapi yang mereka dakwa itu seorang sahaja?

“Apakah penipuan sebesar itu yang digelar the biggest kleptocrat tapi didakwa di sini adalah seorang? Takkan Najib seorang sahaja yang buat semua itu?” soal beliau.

Tambah beliau perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana dibimbangi memberi kesan kepada masa depan negara.

“Tidak boleh begini kerana undang-undang negara memberi perlindungan. Semua orang adalah sama di bawah undang-undang… tapi bila dibenarkan pendakwaan terpilih ianya bertentangan dengan undang-undang.

“Kena selesaikan isu ketidakadilan pendakwaan ini kalau tidak politik dendam akan berterusan, kalau tidak percaya tengoklah selepas pilihan raya,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.