Keprihatinan Pemimpin UMNO Terbukti Dengan Pengumuman PM Dalam Membantu Rakyat


KUANTAN, 30 Jun – Pemuda UMNO Pahang menganggap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membantu rakyat melegakan semua pihak, sekaligus membuktikan keprihatinan selaku pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap permasalahan yang dikemukakan rakyat.

Dalam kenyataan media yang dimuatnaik menerusi laman facebook, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang mengucapkan jutaan terima kasih atas pengumuman yang telah dibuat yang antaranya pengekalan subsidi selain tambahan RM100 dalam Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

“Pemuda UMNO Pahang juga yakin akan ada lagi langkah-langkah penting yang bakal diambil, bagi membantu rakyat khususnya dari golongan B40 dan M40 berhadapan dengan situasi ekonomi negara dan dunia yang semakin mencabar.”

“Menyedari bahawa lebih daripada 50 peratus (sesetengah kajian menunjukkan hampir 65 peratus) jumlah subsidi yang dibiaya kerajaan hari ini dinikmati oleh golongan T20 atau orang kaya, Pemuda UMNO Negeri Pahang juga menyokong rancangan agar subsidi dirasionalisasikan sebagai langkah jangka masa panjang namun berharap mekanisma yang akan digunakan nanti benar-benar tepat dan berkesan dan dirasai oleh golongan yang memerlukan.

“Kami berdoa agar Perdana Menteri diberikan kekuatan dan keteguhan hati dalam usaha membawa negara keluar dari kemelut ini,” katanya lagi.

Dilaporkan, minggu lalu Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat termasuk subsidi minyak masak berpeket dengan peruntukan RM4 bilion tahun ini.

Turut diumum ialah keputusan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5.8 bilion serta langkah tidak mengapungkan harga ayam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.