Dakwaan 3 Ahli Parlimen UMNO Lompat Parti Mahu Selamatkan Diri, Saman Jika Tidak Betul – Pemuda Petaling Jaya

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepertimana laporan akhbar berkaitan tiga Ahli Parlimen UMNO keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu agak mengejutkan.

Ketua Pemuda UMNO Petaling Jaya, A’zlan Hj Abu Bakar berkata tindakan mereka sepertimana yang  diberitahu oleh Datuk Seri Ahmad Zahid adalah satu perkara yang serius.

“Saya agak terkejut dengan laporan akhbar iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tiga Ahli Parlimen UMNO keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana mahu menyelamatkan diri daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 28 Jun 2022.

“Ini adalah kenyataan yang cukup serius kerana ianya telah disebut secara rasmi ketiga-tiga nama Ahli Parlimen di dalam institusi kehakiman negara. Jika kenyataan ini tidak diberi perhatian untuk tindakan lanjut oleh pihak SPRM, saya risau ianya pasti akan menjatuhkan kredibiliti entiti SPRM itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi pendedahan terhadap ketiga-tiga nama tersebut adalah keterangan yang perlu dipertanggungjawabkan kerana disebut di dalam mahkamah.

“Oleh demikian, saya cabar kepada ketiga-tiga Ahli Parlimen yang disebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar menyaman Presiden UMNO jikalau kenyataan yang dibuat ini tidak benar dan salah sama sekali.

“Bawa mereka ke muka pengadilan sekiranya benar terdapat unsur-unsur penyelewengan atau salah guna kuasa atas kepentingan peribadi.” ujarnya.

Terdahulu, pada Selasa Ahmad Zahid dilapor memberitahu Mahkamah Tinggi  bahawa tiga ahli parlimen daripada UMNO melompat parti kerana mahu menyelamatkan diri daripada disiasat SPRM. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.