UMNO Parti Berpengalaman, Tetap Kukuh Dan Teguh Tangani Isu – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan sebagai sebuah parti yang berpengalaman dan matang, UMNO sentiasa rasional dalam melakukan sebarang tindakan termasuk menangani cabaran.

Namun begitu jelas beliau, kemaslahatan rakyat tetap menjadi keutamaan parti keramat ini kerana ianya merupakan tunjang kepada penubuhan UMNO.

“UMNO sebuah parti yang sudah lalui pelbagai isu dalaman namun kerana kematangan ahlinya, parti UMNO tetap berdiri teguh.

“Parti ini akan terus padu dalam hadapi cabaran. Fokus kini selesaikan masalah rakyat tentang kos hidup dan harga barang yang meningkat,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Menerusi hantaran berbeza, Ahli Parlimen Pontian itu juga memaklumkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian parti bahawa Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya lagi, berkenaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga tidak menjadi isu.

“Presiden UMNO ulangi dalam mesyuarat MKT pada 24 Jun bahawa calon Perdana Menteri atau poster boy untuk PRU15 adalah Ismail.

“Tiada krisis seperti yang dihebohkan, Perdana Menteri jaga kerajaan manakala Presiden jaga parti.

“UMNO tidak akan berpecah sebab isu Tajuddin. Biarlah beliau tumpu sebagai Duta Besar,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.