Pembubaran Parlimen Demi Penyelesaian Kes Mahkamah Mainan Persepsi – Azhari

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Ketua UMNO bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Datuk Shaari berpandangan apa yang diwar-warkan dan apa yang dilontarkan oleh pihak tertentu kononnya ada desakan untuk membubarkan parlimen demi kepentingan penyelesaian kes mahkamah adalah jauh tersasar sama sekali.

Sebaliknya tegas beliau usaha ke arah pembubarah parlimen adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil serta boleh memberi keyakinan kepada para pelabur sekaligus dapat melonjakkan ekonomi negara untuk kepentingan rakyat.

“Desakan bubar Parlimen bukan untuk selesaikan kes mahkamah. Jika diikutkan, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Najib Razak tetap teruskan kes mahkamah mereka dan mereka terus membela diri atas tuduhan walaupun Perdana Menteri sekarang adalah dari UMNO.

“Berbeza zaman PH berkuasa. Di mana yang bersalah dan dipenjarakan? Lihat bagaimana mereka berusaha diampunkan dan kini bebas, yang dalam proses pendakwaan boleh pula dakwaan digugurkan. Saya tidak mahu cakap siapa tapi saya rasa ramai yang sudah tahu siapa.

“Seperti yang pemimpin UMNO katakan. Parlimen perlu dibubarkan supaya kerajaan yang stabil dapat dibentuk dan seterusnya memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur di dalam Malaysia bagi membantu mengukuhkan matawang Ringgit Malaysia. Dengan pengukuhan matawang Ringgit, masalah kenaikkan harga barang secara amnya dapat dikawal dan diturunkan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Azhari seterusnya menambah, rakyat perlu bersama-sama mendesak pembubaran parlimen agar selepas parti yang menang dapat menerajui kerajaan tanpa rasa diugut oleh parti-parti kecil yang semua ahlinya jenis lompat parti.

“Itu bezanya UMNO dengan pihak pembangkang dimana mereka hanya membangkang dengan janji populis, dimana janji mereka seperti manifesto bukan kitab suci tidak boleh ditunaikan.

“Pemimpin UMNO pula sentiasa mencari solusi bagi masalah rakyat. Saya pun pelik dengan Presiden PKR dan PH ini. Sebelum ini punyalah laung kata kerajaan sekarang ini kerajaan tebuk atap. Bila UMNO cadang bubar parlimen, mereka tak sokong pula. Apa yang mereka hendak sebenarnya,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.