Laksanakan Usaha Terbaik Untuk Rakyat, Langkah Kekalkan Tarif Elektrik Melegakan – Sabrina

BANDAR BAHARU, 28 Jun – Tindakan Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memutuskan untuk Kerajaan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, di samping harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan amat baik malah melegakan rakyat.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Norsabrina Mohd Noor, langkah utama yang wajar difikirkan sekarang ini adalah dalam usaha memastikan rakyat hidup sejahtera dan tidak terbeban.

Ini kerana katanya, keadaan ekonomi masih belum pulih malah merudum selepas pandemik COVID-19 dan masih ramai rakyat yang terkesan akibat daripada pelbagai krisis yang berlaku.

“Suasana rakyat hari ini sedang membiasakan diri dengan pasca pandemik, sedaya upaya untuk bangkit sama ada yang sebelum ini bergelar peniaga, bekerja sendiri atau memulakan kembali kerjaya baharu, dan sebagai pemimpin tentunya kita mahukan yang terbaik untuk rakyat.

“Kerana itulah, langkah kerajaan yang tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan harga ayam tidak diapungkan sedikit sebanyak amat melegakan.

“Namun begitu, kita berharap akan banyak lagi langkah susulan atau tindakan yang akan dibuat bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat tidak terbeban sama ada melibatkan kos perbelanjaan dan sara hidup,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, pujian juga patut diberikan kepada pihak kerajaan kerana memberikan subsidi kepada penternak ayam demi menampung kenaikan kos supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri.

Terdahulu, Jumaat lalu Ismail Sabri mengumumkan kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain, sementara bagi harga ayam pula, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.