Cerita Tikus Yang Mengaum… Analogi Rakyat Angkat Orang Biasa Mendapat Kedudukan, Pangkat, Hebat

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam hantaran menerusi laman Facebooknya menggunakan analogi secara satira berhubung situasi politik yang berlaku ketika ini.

Dalam hal ini, beliau mengambil cerita tikus yang mengaum lantaran bertukar menjadi harimau.

“Pengajaran: tak perlu percaya cerita sakti. Tapi boleh bayangkan orang tua itu adalah rakyat jelata atau sesiapa yang boleh menjadikan orang biasa mendapat kedudukan, pangkat dan dilihat hebat,” katanya pada akhir cerita pendeknya.

Berikut adalah cerita yang dimuat naik:

Cerita tikus yang mengaum.

Alkisah seekor tikus mencari makan dipinggir hutan. Tetiba dikejar seekor musang.

Tikus tahu tak jauh dari situ ada sebuah pondok tempat pertapaan seorang tua sakti.

Tikus terus menuju ke pondok dan meminta pertolongan orang tua itu. “Tolonglah, musang mengejar dan nak baham saya.”

Orang tua menggunakan kuasa saktinya menukar tikus menjadi harimau.

Tikus yang menjadi harimau terus mengaum dan menghambat musang ke tengah hutan.

Menyedari dirinya hebat, harimau terus menyergah dan menerkam semua binatang lain pula. Ramai menjadi menjadi mangsa hingga hutan tak lagi tenteram.

Kini, harimau menganggap tidak ada siapa yang lebih hebat daripadanya kecuali orang tua tadi.

Satu pagi, dengan perlahan dia bergerak untuk menerkam orang tua yang sedang bertapa. Orang tua sempat berpaling dan terus menggunakan kuasa saktinya menukar harimau kembali menjadi tikus.

Bila merasa dirinya sudah tidak ada apa-apa, tikus mengumpul tikus-tikus lain untuk melancar protes.

Kata tikus kepada kawan-kawannya: “tidakkah kau bangga di kalangan kita ada tikus hebat dan ditakuti oleh binatang lain? Ayuh kita desak orang tua itu untuk menjadikan aku harimau semula….”

Jawab tikus-tikus lain:”sepatutnya kau berterima kasih kepada orang tua yang menyelamatkan kau dulu. Kau bukan sahaja tak bersyukur, kau huru-harakan hutan ini termasuk kami di kalangan tikus-tikus kecil.. dan nak bunuh pulak orang tua tu. Insaflah wahai kawan ku.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.