Usahlah Buat Andaian Yang Tidak Menguntungkan Parti – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Ahli Majlis Kerja Teringgi (MKT) UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengingatkan semua pihak dalam parti agar tidak secara sengaja menimbulkan pelbagai persepsi serta andaian kerana akhirnya boleh menimbulkan pelbagai suasana yang tidak tenteram.

Menurut beliau andaian-andaian tertentu yang tidak berasas tidak akan ke mana sebaliknya sekadar menimbulkan suasana yang tidak sihat di dalam UMNO dan imej parti bergantung kepada seluruh kepimpinan dan pelbagai peringkat yang lain.

“Usahlah membuat pelbagai andaian yang tidak menguntungkan parti. Keputusan parti wajib dipatuhi. Usahlah kita sengaja menimbulkan suasana tidak tenteram dalam parti sendiri, dengan membuat andaian tanpa asas yang kukuh dan tepat.

“Kita mesti menjadi ahli dan pemimpin parti yang bertanggungjawab. Dan jika kita mahu orang menghormati kita, maka kita juga mesti menghormati orang lain,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), UMNO merupakan sebuah parti yang telah lama di negara ini dan berkhidmat sebaiknya untuk seluruh rakyat.

“UMNO parti yang sudah begitu lama di negara ini. Kekuatan dan imej parti bergantung kepada kita. Tidak perlu kita lakukan sesuatu yang merosakkan parti. Kerana tiada orang lain yang akan menjaga parti kita. Melainkan kita sendiri. Maka, sebagai ahli dan pemimpin dimanapun kedudukan kita. Wajib kita menjaga parti ini,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.