Apa Isunya? Tajuddin Bukan Dipecat… Diganti Orang Lain Adalah Normal

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menegaskan bahawa menggugurkan orang yang dilantik dan diganti dengan orang lain adalah normal.

Dalam hal ini beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bukan dipecat daripada MKT.

“Tajuddin bukan dipecat. Dia MKT dilantik. Dia digugurkan untuk diganti oleh orang lain,” katanya yang membidas segelintir pihak yang cuba menghasut dengan mengatakan tindakan terhadap Tajuddin berisiko cetuskan krisis dalam parti.

Jelasnya, krisis boleh berlaku apabila ada tukang kipas dan batu api yang mengapikannya.

“Annuar Musa pernah digugurkan sebagai Ketua Penerangan. Itu juga berlaku kepada Ahmad Maslan dan Dr Shamsul Nasarah. Tidak timbul pun krisis dalam parti.”

Dalam masa yang sama, Puad menolak dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah memecat orang kerana katanya, Anwar Ibrahim adalah antara yang dipecat hingga hilang jawatan Timbalan Presiden.

“Siapa kata Tun M tidak pernah pecat orang. Anwar Ibrahim dipecat sampai hilang jawatan Timbalan Presiden. Annuar membisu bila Muhyiddin pecat Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana.

“Bila lawan keputusan parti memang wajib digugur dan dipecat. Itu cerita sebenarnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.