Projek 5G: Adakah Model DNB Menguntungkan Rakyat? – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi mendesak sama ada kerajaan atau Digital Nasional Berhad (DNB) untuk memberikan penjelasan berkenaan pelaksanaan projek 5G kebangsaan khususnya berkaitan kredibiliti dan pelantikan Ralph Marshall sebagai ketua pegawai eksekutif yang dikaitkan dengan jenayah rasuah di India.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya bertegas supaya persoalan-persoalan ini harus segera dijawab kerana ianya merupakan agenda nasional melibatkan wang rakyat yang bernilai besar.

“Persoalannya apakah benar kos dikhabarkan sudah mencecah RM30 bilion? Kajian susulan Pemuda UMNO Malaysia juga mendapati DNB menggunakan model perniagaan Rangkaian Pukal Tunggal (SWN) iaitu satu bentuk monopoli eksklusif spektrum rangkaian 5G.

“Melalui model SWN ini, DNB diberikan hak eksklusif untuk membina infrastruktur rangkaian, manakala operator rangkaian mudah alih (MNO) seperti Maxis, Digi, Celcom, U-Mobile, Telekom dan lain-lain akan memajak spektrum dengan anggaran hasil sewaan terkumpul mencecah berbillion ringgit.

“Model perniagaan DNB melalui SWN yang mengagihkan spektrum rangkaian mudah alih ini berbeza dengan model perniagaan sebelum ini yang diselia terus melalui SKMM selaku Badan Pengawalselia dengan menawarkan satu bentuk platform untuk setiap MNO bersaing secara kompetetif dengan kos yang optimum dan menjana hasil berbilion ringgit kepada rakyat melalui cukai korporat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau dengan kontrak bersifat monopoli yang telah dianugerahkan oleh kerajaan, DNB mengambil peluang untuk mengumpulkan dana pembiayaan sekurang-kurangnya RM15 hingga 20 bilion melalui penerbitan sukuk bagi pembangunan infrastruktur rangkaian seperti menara komunikasi dan perkakasan.

“Sebaliknya melalui model SWN, hasil pungutan bayaran pajakan tidak terus ke kantung kerajaan tetapi ke DNB yang sebahagian besar sahamnya dimiliki oleh pihak swasta yang bakal memperoleh keuntungan besar.

“Justeru Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar penjelasan tuntas dilakukan oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia agar rakyat diberikan jaminan bahawa model baharu SWN yang dimonopoli DNB ini tidak berlaku sebarang bentuk ketirisan yang bakal membebankan rakyat yang ketika ini amat memerlukan rangkaian capaian 5G yang efektif dan efisyen,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.