Kesesakan Trafik Di Lembah Klang Perlu Langkah Proaktif

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan langkah proaktif perlu dilaksanakan bagi menangani aliran trafik yang sesak di Kuala Lumpur sejak kebelakangan ini.

Katanya, kerajaan harus memberi keutamaan kepada isu ini kerana Lembah Klang merupakan antara penjana utama kepada enjin ekonomi negara.

“Isu berkaitan aliran trafik dan keberkesanaan sistem pengangkutan awam terutamanya di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya mestilah diteliti semula.

“Ianya semakin menjadi tumpuan rakyat Malaysia terutama sekali mereka yang tinggal dan bekerja di sekitar Lembah Klang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN), itu lagi human connectivity boleh dijadikan antara perkara yang perlu diberi keutamaan dalam usaha kerajaan menjana ekonomi Malaysia pasca COVID-19.

“Dengan pelaburan yang telah diambil kerajaan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti MRT dan sebagainya, fenomena kesesakan trafik melampau amat membimbangkan.

“Kuala Lumpur bukanlah bandar raya yang terlalu padat seperti bandar raya utama dunia lain memerlukan usaha urban rejuvenation yang berterusan agar ia kekal menjadi tempat yang mapan bagi orang ramai bekerja dan bermastautin dalam dekad mendatang,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Zahid usaha tersebut termasuklah dengan membudayakan penggunaan pengangkutan awam kepada masyarakat agar jumlah pengguna dapat ditingkatkan sejajar dengan jumlah penambahan atau penurunan penduduk di Lembah Klang.

“Kementerian Wilayah Persekutuan perlu mendahului inisiatif-inisiatif strategik dan berperanan lebih aktif dalam merealisasikannya.

“Kementerian ini tidak patut dilihat sebagai tidak penting dalam perancangan ekonomi negara apatah lagi dipimpin dengan paradigma lama yang tidak langsung menyelesaikan masalah golongan ibu kota.

“Isu seperti kesesakan trafik luar biasa bukanlah satu-satunya isu yang perlu penyelesaian secepat mungkin namun isu banjir, perumahan mampu milik dan kos sara hidup di ibu kota juga antara masalah perlu difokuskan,” tegas beliau.

Terdahulu pada Jumaat, dilaporkan kesesakan lalu lintas di ibu kota kini lebih teruk berbanding sebelum pandemik antaranya disebabkan pekerja sudah kembali ke pejabat dan persekolahan juga dijalankan secara bersemuka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.