MB Kedah Perlu Fokus Tangani Keperluan Rakyat, Elak Cetus Polemik Lain – Shaiful

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor diminta untuk lebih serius dalam menangani keperluan asas rakyat seperti masalah air yang dihadapi ketika ini berbanding menyentuh isu lain yang dibimbangi mencetuskan polemik, tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Katanya, ini kerana rakyat negeri terbabit sudah semakin muak dengan gangguan bekalan air yang telah dianggap menjadi kebiasaan bagi mereka.

“Realitinya saya bimbang akan kekerapan beliau melontarkan komen-komen yang tidak sepatutnya kepada pihak lain khasnya mengenai pengurusan bola sepak pasukan tertentu dan sudah tentunya akan mengundang reaksi balas dan komen daripada pihak yang dikritik.

“Bagi saya daripada membuat komen-komen tidak mendatangkan faedah adalah lebih baik tenaga dan kesungguhan ini ditumpukan terhadap krisis air dan masalah rakyat yang semakin meruncing.

“Ketika ini masalah air sudah bertambah serius dan kawasan yang dikategorikan sebagai bermasalah sudah semakin luas malah sudah ada beberapa kawasan sudah menganggap ianya sebagai endemik iaitu kebiasaan yang harus ditelan ataupun dibiasakan kerana masalah ini sudah terlalu lama dibiarkan tanpa satu penyelesaian muktamad,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau juga meluahkan kekesalan dengan kenyataan Sanusi baru-baru ini yang meminta rakyat negeri itu bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk bertindak.

“Sanusi juga memaklumkan bahawa mereka sudah ada jalan keluar hasil perjanjian dan kerjasama dengan beberapa badan dan syarikat swasta… namun demikian saya menyifatkan, permintaan beliau yang memohon agar rakyat bersabar adalah bersifat pramatang dan tidak objektif,” ujar beliau.

Tambah Shaiful, kerajaan negeri juga seharusnya memaklumkan secara terbuka, telus, perancangan, sasaran penyelesaian muktamad beserta sasaran tahun dan tempoh masa pihak yang bakal bekerjasama serta unjuran kos.

Jelas beliau, tidak perlu disembunyikan fakta dan perancangan kerana rakyat berhak mengetahui butiran dan tindakan kerana hak mereka untuk mendapat kemudahan air secara sempurna sudah dinafikan terlalu lama.

Sementara itu, beliau juga berpandangan bahawa pengurusan air negeri perlu diserahkan kembali kepada kerajaan persekutuan demi rakyat.

Katanya lagi, kerajaan negeri perlu mengakui bahawa Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah gagal dan tidak mampu menangani pengurusan air yang semakin mencabar.

“Saya yakin rakyat sudah semakin hilang kepercayaan terhadap agensi kerajaan negeri ini, hakikatnya bebanan kewangan yang tinggi ditambah pula dengan keadaan ekonomi semasa pasca pandemik meruncing, kerajaan negeri dan SADA harus berlapang dada demi rakyat.

“Saya juga agak bimbang kerana sehingga kini kerajaan negeri belum menggariskan sebarang garis panduan khas ataupun pelan tertentu bagi menghadapi gangguan bekalan air disepanjang musim kemarau.

“Di samping penghantaran air ke kawasan- kawasan yang terjejas pihak SADA seharusnya bersedia untuk melaksanakan tindakan- tindakan tertentu contohnya penjadualan bekalan, baik pulih beberapa kawasan berisiko ataupun penyaluran daripada beberapa sumber alternatif,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.