UMNO Sabah Sahkan Terima Borang Permohonan ADUN Sindumin Dan Rakan-rakan

SIPITANG, 25 Mei – UMNO Sabah mengesahkan telah menerima borang permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob bersama rakan-rakan yang lain untuk menyertai parti berkenaan.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, permohonan tersebut telah dikemukakan pada bulan lepas dan UMNO Sabah akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat perhubungan UMNO negeri akan datang untuk dibincangkan.

“Pada dasarnya UMNO Sabah tidak berhalangan untuk menerima kemasukan mereka, bagaimanapun ianya akan dibincangkan pada mesyuarat perhubungan UMNO negeri akan datang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka ADUN Sindumin di Kampung Pelakat, Sipitang, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimee Unggi.

Dr Yusof yang sebelum ini merupakan Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) telah mengambil keputusan meninggalkan parti tesebut pada 8 Oktober tahun lalu dan menjadi ADUN bebas sebelum mengambil keputusan menyertai UMNO.

Turut bersama menyerahkan borang kemasukan menyertai UMNO semasa majlis tersebut bekas calon Warisan DUN Membakut Haji Sani Marip ,bekas Ketua Penaja parti Warisan Beaufort, Haji Jusih Sarin, bekas Ketua Penerangan Warisan Beluran, Ahmad Said dan bekas Ketua Penerangan parti Warisan Tawau.

Mengulas lanjut mengenai kemasukan Dr Yusof dan rakan-rakannya menyertai UMNO, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata kemasukan mereka tanpa syarat dan ini selaras dengan konsep pintu terbuka yang diamalkan oleh UMNO untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti tersebut asalkan mereka ikhlas berjuang bersama UMNO.

“Mereka merupakan pemimpin yang ada pengikut tersendiri dan saya yakin kemasukan mereka bersama UMNO akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan UMNO/Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang,” katanya.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata masanya telah tiba untuk semua pemimpin politik tidak kira di pihak kerajaan mahu pun pembangkang untuk memberikan fokus terhadap usaha membangunkan negeri Sabah.

“Lebih dua tahun negara kita dilanda pandemik COVID-19 menyebabkan kesihatan dan ekonomi rakyat terjejas.

“Selepas peralihan ke arah endemik ini adalah waktu yang sesuai untuk kita memberikan tumpuan untuk membangunkan ekonomi Sabah untuk kesejahteraan rakyat dan sememangnya ini menjadi fokus utama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)/BN untuk membangunkan negeri agar kemajuan dapat terus diperkasa bergandingan dengan negeri negeri lain,” katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.