Kerajaan Komited Hapuskan Jurang Pembangunan Semenanjung, Sabah – PM Ismail Sabri

KOTA KINABALU, 20 Mei – Kerajaan Persekutuan sedang berusaha untuk menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah termasuk menerusi pembinaan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol yang dibina di Sabah bakal mampu mengubah keseluruhan kawasan di negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada masa sama, kerajaan juga terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pendalaman Sabah.

“Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion.

“Sememangnya menjadi harapan Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti mana juga negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap melancarkan siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menteri-menteri Kabinet negeri dan pegawai kanan kementerian.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus komited untuk merealisasikan sasaran sifar miskin tegar di 10 lokaliti di Sabah menjelang akhir 2025 seperti ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menerusi penglibatan holistik semua jabatan serta agensi berkaitan.

Beliau berkata 10 lokaliti yang telah dikenal pasti bagi fasa satu Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sabah itu melibatkan Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.

Menurutnya, program pembasmian kemiskinan sebelum ini dilaksanakan secara ‘silo’ di hampir semua agensi terlibat, namun, kini peranan semua entiti digabungkan, dengan Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai penyelaras dan pemudah cara program tersebut.

“Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak termasuk peringkat akar umbi bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai.

“EPU dan ICU akan menjadi penyelaras menggabungkan semua pihak yang terlibat seperti kementerian, kerajaan negeri, ahli akademik, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil untuk mencari kaedah terbaik bagi menghapuskan miskin tegar secara holistik berasaskan lokaliti,” katanya.

Ismail Sabri berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa berperanan sebagai anggota keluarga amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama apa yang sepatutnya diperoleh oleh Keluarga Malaysia di Sabah.

Dengan semangat Keluarga Malaysia, beliau berkata kerajaan berharap sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dipertimbangkan dengan sebaiknya menerusi Jawatankuasa Peringkat Persekutuan bagi membincangkan tuntutan negeri itu menerusi MA63.

Menyedari pentingnya kerjasama antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketat kawalannya, Perdana Menteri berkata Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan perairan Sabah.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penduduk sekitar Pagalungan, Nabawan yang memerlukan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas tidak perlu lagi pergi sejauh lebih 100 kilometer ke Keningau untuk mendapatkan pas berkenaan kerana kini ia boleh didapati di Pos Kawalan Imigresen di daerah tersebut.

Bagi memastikan “no wrong door policy” pula, urusan pembaharuan Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara juga kini boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen di Sabah, katanya.

Mengulas isu kenaikan harga tiket penerbangan tidak munasabah ketika musim perayaan, Perdana Menteri berkata perbincangan akan diadakan dengan pihak terlibat agar Keluarga Malaysia tidak lagi bimbang ketika hendak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akan datang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.