Tirai Perhimpunan Agung Khas UMNO Dibuka, Perwakilan Mula Mendaftar

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Menjelang Perhimpunan Agung Khas UMNO  semua perwakilan UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO mula melakukan pendaftaran hari ini.

Bermula pukul 10.00 pagi pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini mula didatangi oleh perwakilan UMNO yang membabitkan 191 bahagian dari seluruh negara.

Perhimpunan Agung Khas UMNO berlangsung sehari dengan anggaran seramai 2,666 perwakilan yang bakal menghadirinya.  

Persidangan ini dilaksana untuk meminda perlembagaan parti selaras dengan apa yang  telah diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac lalu.

Salah satu dari agenda Perhimpunan Agung Khas UMNO adalah meminda perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum.

Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi pilihan raya umum tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan.

Terdahulu, perwakilan yang tiba di sini diwajibkan mengimbas menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan daftar pergerakan dan semakan kendiri status risiko dan kesihatan di samping sanitasi tangan selain diminta pastikan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka dipraktikkan setiap masa walaupun sudah memasuki fasa peralihan endemik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.