150 Ahli PPBM Wangsa Maju Keluar Parti Sertai UMNO – Shafei Abdullah

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Seramai 150 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Wangsa Maju mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah melahirkan kesyukuran kerana Ketua Srikandi bahagian itu, Datin Seri Roslinda Abdul Hamid telah menyerahkan borang keahlian mereka.

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi UMNO Wangsa Maju kerana telah menerima sebanyak 150 borang ahli PPBM yang menyertai UMNO. Ianya diketuai oleh Ketua Srikandi Wangsa Maju, Datin Seri Roslinda Abdul Hamid.

“Sebenarnya timing cukup baik sebab menjangkakan pilihan raya akan diadakan dalam tahun ini dan kebetulan mereka ini masuk UMNO akan menambahkan jentera parti walaupun UMNO Wangsa Maju mempunyai berbelas ribu ahli. Kemasukan 150 ahli PPBM akan menguatkan lagi UMNO bahagian untuk terus berkerja keras demi kemenangan pada pilihan raya nanti.

“Kita mendoakan agar penyatuan bekas-bekas ahli PPBM yang masuk pada UMNO boleh menguatkan lagi parti ini dan bersama-sama berjuang untuk anak bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui media, di sini.

Sementara itu Ketua Srikandi Wangsa Maju, Datin Seri Roslinda Abdul Hamid mengistiharkan keluar dari PPBM berkuatkuasa serta merta dan menyertai UMNO akibat hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti itu.

“Kami hilang kepercayaan dari kepimpinan atasan kerana tidak pandai menjaga akar umbi. Apabila akar umbi tidak dijaga makanya ahli-ahli akan berkeliaran. Setinggi mana pun kita… kita kena jaga akar umbi.

“Kami memberi ruang dan peluang melihat perkembangan PPBM akan tetapi melihat semakin hari semakin teruk kepimpinannya malah Ketua PPBM Wangsa Maju tidak memberi kerjasama pada kami dan mengambil kata sepakat untuk meninggalkan PPBM dan memasuki UMNO,” katanya lagi.

Jelasnya, terdapat lagi beberapa kemasukan ahli PPBM ke UMNO Wangsa Maju dan beliau tidak sempat menulis borang tersebut.

“Sebenarnya keahlian yang ada pada saya hampir 70 borang lagi dan tidak sempat menulis borang. Kami akan berkerja lebih kuat untuk menaikkan UMNO Wangsa Maju.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah kerana sudi menerima kehadiran kami,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.