Sumbangan PDRM Jaga Ketenteraman, Keharmonian Rakyat Dan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Sambutan Hari Polis hari ini.

Katanya, seluruh pegawai, anggota dan kakitangan PDRM telah memberikan sumbangan pada setiap hari, siang dan malam bagi memastikan ketenteraman serta keharmonian masyarakat negara ini sentiasa terjamin.

“Sesungguhnya pasukan keselamatan ini sangat dekat di hati saya kerana pelbagai memori semasa bertugas sebagai Menteri Dalam Negeri masih tersemat rapi di sanubari.

“Jiwa ini sehingga hari ini masih dapat merasai serta menyelami betapa besar jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan itu dalam memastikan rakyat terus hidup aman dan sentosa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengimbas kembali perkhidmatannya sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau berkata pengalaman tersebut sangat bermakna bagi dirinya dalam menambah baik perkhidmatan pasukan itu kepada negara dan masyarakat.

“Antaranya yang sangat diingati menaik taraf unit trafik PDRM kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi memperkasakan peranan dan fungsinya.

“Mencetuskan idea penubuhan tiga skuad elit PDRM untuk melawan dan melumpuhkan habis-habisan jenayah terancang di Malaysia dengan memburu serta menangkap ‘jerung-jerung’ yang menjadi dalang.

“Itulah skuad elit Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING),” katanya.

Bagaimanapun jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, semua ini berubah setelah pentadbiran kerajaan diambil oleh Pakatan Harapan (PH).

“Namun sejurus kerajaan BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018, kerajaan 22 bulan mengarahkan pembubaran ketiga-tiga skuad elit ini,” katanya.

Jelasnya lagi, sejarah turut menyingkap pengorbanan besar pasukan polis dalam jasanya menentang ancaman komunis dan kini mencatat sejarah baharu melawan jenayah siber serta rentas sempadan.

“Terima kasih para pegawai dan anggota PDRM kerana terus kental dan bersemangat memberi khidmat mereka menjaga rakyat dan negara tanpa mengenal erti penat lelah,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.