Pejuang UMNO Tidak Pernah Mengalah, Tidak Akan Undur – Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Pembahas dari negeri Pulau Pinang Datuk Mohd Noor Ahmad menjelaskan perjuangan UMNO tetap sama dari dahulu hingga sekarang dan selamanya untuk membela serta prihatin pada rakyat.

Kata Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu, selari dengan slogan UMNO iaitu Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat yang mana perjuangan UMNO ini tidak pernah mengalah dan meninggalkan perjuangan tersebut.

“Pejuang UMNO tidak akan mengalah. Tidak akan undur ke belakang, tidak akan lompat parti, tidak akan menghina parti, tidak akan memerli pemimpin parti dan paling penting tidak meninggalkan perjuangan walau setapak. Mereka tidak akan pernah rela perjuangan ini dibeli dengan mata dunia biar berjuta nilainya.

“Asal saja untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara, pejuang UMNO sedia mencagarkan seluruh kepentingan hidup dan mengorbankannya demi perjuangan ahli UMNO seluruh negara senantiasa siap mendepani siapa jua yang memusuhi perjuangan UMNO biar pun sebesar mana pakatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Tambahnya lagi, ahli UMNO tidak akan berganjak mahupun meninggalkan parti di kala senang ataupun di kala susah.

“Biarlah ada di antara kita yang melompat serta hilang pedoman dan melontar kejian kepada parti yang memberikan mereka kesenangan, namun yakin seluruh ahli parti terus setia pada UMNO.

“Susah senang dirasai bersama. Bukan seperti mereka yang sewaktu senang bersama UMNO, dan apabila kalah terus melompat dan mengeji parti,” bidasnya.

Dalam pada itu beliau merasa kecewa apabila suara perjuangan UMNO dibawa ke Parlimen dipersendakan oleh bekas ahli parti.

“Denyut nadi rakyat dan suara ahli UMNO yang dibawakan di Parlimen kadangkala diperlekehkan oleh mereka yang pernah berada bersama-sama kita sebelum ini.

“Kita berjuang dan mengutarakan pendapat agar kerajaan yang ada mendahului rakyat dan tahu kemampuan negara untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit