Ucapan Penggulungan Naib Presiden UMNO – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB

PENGGULUNGAN NAIB PRESIDEN UMNO

SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021

SALUTASI

Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap dan Timbalan
Pengerusi Tetap

Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO

Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dato’ Mohamad Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO

Yang Berhormat Dato’ Seri Di Raja Mahdzir Khalid
Naib Presiden UMNO

Yang Berbahagia Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad
Ketua Wanita UMNO

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dasuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO

Yang Berbahagia Dato’ Zahida Zarik Khan
Ketua Pergerakan Puteri UMNO

Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Presiden Parti-Parti Komponen BN

Seterusnya Keluarga UMNO yang dikasihi sekalian.

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat ALLAH SWT, kita dapat berhimpun bersama-sama sebagai Keluarga UMNO di dewan keramat ini.

2. Tidak mungkin saya berada di atas pentas ini sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri tanpa berkat doa serta sokongan penuh ahli-ahli UMNO.

3. Terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden, Ahli-Ahli MKT dan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang sebulat suara mencalonkan saya sebagai Perdana Menteri, disokong oleh kepimpinan UMNO Negeri, Bahagian dan Cawangan.

4. Benar seperti yang diucapkan oleh Presiden UMNO, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, “Kerajaan dan Parti harus seiring jalan.”

5. Dokongan dan sokongan pucuk pimpinan parti kepada Jemaah Menteri UMNO akan kami buktikan bahawasanya UMNO-lah satu-satunya parti yang terbukti menjaga kepentingan agama bangsa dan tanah air serta kebajikan Keluarga Malaysia.

6. Sebelum saya melangkah jauh dalam ucapan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) Melaka dan Johor kerana berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan amat bergaya.

7. Terima kasih kepada seluruh jentera parti dari seluruh pelosok tanah air yang berkorban tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit untuk perjuangan ini.
PERJUANGAN SAYA

Keluarga UMNO Yang Dikasihi,

8. Jati diri saya adalah jati diri UMNO. Siapalah Ismail Sabri tanpa tuan-tuan dan puan-puan. Sebab itu saya tidak akan membiarkan obor perjuangan UMNO malap, tapi terus menyala dan membakar semangat perjuangan kita bersama.

Bertenggek di sena burung kenari,
Nampak mega di tepian merbah,
Berdiri di sini Ismail Sabri,
Pegangan utuh tidak goyah, tidak berubah.

9. Oleh itu, apa saja keputusan kita dalam Kabinet, saya akan pastikan pandangan dan suara UMNO diberikan keutamaan, demi menjaga kepentingan rakyat.

10. Suka saya tegaskan, saya orang parti! Darah saya darah UMNO! Perjuangan saya adalah untuk UMNO!

MENUNAIKAN KETETAPAN PARTI

Keluarga UMNO yang saya kasihi,

11. Sejak BN kembali memimpin kerajaan, sudah banyak kejayaan yang kita capai. Selaku orang parti, paling penting bagi saya adalah menunaikan ketetapan parti.

12. Alhamdulillah, semua perkara yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Ogos 2021, telah saya laksanakan dengan dokongan rakan-rakan Kabinet UMNO.

Pertama, mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti sebagai mana titah saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan RajaRaja Melayu dalam Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu. Titah ini kita junjung. Inilah UMNO terus menjaga dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.

Kedua, memberi fokus kepada usaha menangani Covid-19 dan vaksinasi. Kita telah berjaya mencapai imunisasi kelompok lebih 98.5 peratus dengan 2 dos vaksin lengkap. Manakala proses vaksinasi dos penggalak dan PICKids sedang rancak dilaksanakan. Tiada paksaan untuk menerima dos penggalak kepada golongan dewasa dan kanak-kanak tetapi kita galakkan mengambilnya untuk melindungi Keluarga Malaysia.

Ketiga, menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan termasuk bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.

Keempat, penjenamaan semula kerajaan melalui Keluarga Malaysia dengan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Kelima, mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen. Kita pastikan Dewan Rakyat berfungsi dan memainkan peranannya dalam semak dan imbang.

Keenam, menubuhkan jawatankuasa yang berkaitan bagi menegakkan keadilan dan menunjukkan ketelusan kepada rakyat.

Pertama, jawatankuasa khas telah pun ditubuhkan pada Oktober 2021 bagi menyiasat pendedahan buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Pasukan Petugas Khas (PPK) sedang mengambil tindakan termasuk memanggil pihak yang terlibat. Laporan interim akan dibentangkan pada bulan depan.

Saya janji jika ada penyalahgunaan kuasa, konspirasi terpilih, seperti yang didakwa, kita akan ambil tindakan.

Kedua, kita telah tubuhkan RCI Tabung Haji. Kerajaan tidak akan sembunyikan apa-apa dan siasatan telah bermula sejak Januari. Saya percaya siasatan ini dapat diselesaikan penghujung Julai ini.

Ketiga, kes kematian arwah Adib sedang disiasat secara menyeluruh dan telus serta diberikan pembelaan sewajarnya. Jawatankuasa khas siasatan telah membentangkan laporan interim pada 15 Mac 2022.

Walaupun siasatan masih berjalan tetapi Kerajaan telah pun membayar ‘ex-gratia’ berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga arwah pada 29 November 2021. Inilah bukti kesungguhan UMNO dalam membela nasib rakyat.


KEJAYAAN

Keluarga UMNO Yang Dikasihi,

Membuka Semula Ekonomi

13. Menyentuh soal ekonomi, mahu tidak mahu, kita harus akui pandemik Covid-19 merencatkan perkembangan ekonomi negara. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ia juga telah memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

14. Namun sejak saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri, saya telah menggerakkan seluruh jentera Kerajaan untuk menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi. Rekod vaksinasi kita adalah antara yang paling terbaik di dunia.

Maklumat Tambahan

Berdasarkan The Covid Resilience Ranking yang dikeluarkan oleh Bloomberg, Malaysia berada di tangga ke-19 dunia dan yang terbaik di Asia Tenggara dalam menangani penularan COVID-19.

15. Kita berdoa, dengan pengumuman fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022 dapat merancakkan semula ekonomi negara dan membantu rakyat dalam memperolehi pendapatan seperti sedia kala.

Maklumat tambahan

Sektor pelancongan yang menyumbang kira-kira 15% kepada KDNK semakin pulih.

Nilai dagangan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM2 trillion, peningkatan hampir 25 peratus asas tahunan. Ini merupakan peningkatan tertinggi sejak 1994.

Pemulihan Ekonomi Negara

16. Alhamdulillah, sejak UMNO menerajui semula kerajaan, ekonomi negara kita berkembang sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat berbanding menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga tahun 2021.

17. Jumlah eksport negara pula meningkat sebanyak RM28.2 bilion (Ogos-Dec 2021). Pengukuhan ekonomi ini disokong dengan aliran masuk Pelaburan Terus Asing (FDI) sebanyak RM24.7 bilion pada suku tahun keempat berbanding RM12.8 bilion bagi suku ketiga. Inilah bukti keyakinan para pelabur luar negara terhadap kerajaan pimpinan UMNO.

Keluarga UMNO yang saya kasihi,

JaminKerja Keluarga Malaysia / Belia

18. Hasilnya, banyak peluang pekerjaan berjaya dicipta, dengan kadar pengangguran menurun kepada 4.2 peratus berbanding 4.6 peratus pada Ogos 2021.

19. Sebanyak 558,000 pencari kerja berjaya mendapat penempatan pada tahun 2021 melebihi sasaran menyediakan 500,000 peluang pekerjaan.

20. Pada tahun ini, Kerajaan telah melancarkan inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan yang merangkumi;

(i) Insentif Penggajian,
(ii) Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MyStep).
(iii) Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran

21. Bagi memantau dan memastikan sasaran ini berjaya untuk memberi peluang kepada anak muda, graduan lepasan universiti dan pencari kerja, Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh saya sendiri akan mengerahkan seluruh agensi kerajaan, Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Milik Kerajaan (GLIC) untuk turut menjayakan perancangan ini.

Sumbangan GLC / GLIC

22. Prestasi GLC dan GLIC juga semakin baik untuk tahun 2021. Sebagai contoh, Petronas mencatat keuntungan sebanyak RM48.6 bilion berbanding kerugian RM1.137 bilion pada tahun 2020. Azam saya, selagi kerajaan ini, kerajaan UMNO, kita tidak akan membenarkan penjarahan wang Petronas sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

23. GLC dan GLIC telah memberikan sumbangan kepada Keluarga Malaysia melalui CSR. Dalam tempoh dua tahun sejak 2020 Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) telah berjaya membantu lebih 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM327 juta.

24. KWSP pula mengagihkan dividen sebanyak 6.1 peratus dan LTAT, 4.1 peratus. Kedua-dua dividen ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2018. Tidakkah ini semua bukti ekonomi kita sedang memulih?

25. Hari ini, saya ingin mengumumkan pelaburan baharu sebanyak RM32 bilion bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) Di Proton City, Tanjung Malim, Perak. Pelaburan daripada DRB-Hicom ini bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan serta 161,000 sepanjang fasa operasi.

Semarak Niaga

26. Kerajaan juga memperkenalkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion sekali gus memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor informal seperti peniaga-peniaga kecil.

27. Melalui program ini, contohnya, Kerajaan menyediakan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM dan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional atau CBRM, akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 ribu tanpa faedah. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

28. Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75 ribu tanpa faedah berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Satu Keluarga Satu Rumah

29. Salah satu matlamat utama saya ialah untuk memastikan seluruh Keluarga Malaysia khususnya belia mampu memiliki rumah sendiri. – Haaa…, ini Pemuda dan Puteri kena dengar. Ini untuk orang muda!

30. Oleh itu, Kerajaan melancarkan program Satu Keluarga, Satu Rumah yang menumpukan usaha pemilikan rumah untuk generasi belia dan pembinaan perumahan di kawasan bandar kecil. Sebanyak 500,000 buah rumah akan dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

31. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, Kerajaan melancarkan inisiatif pembiayaan perumahan, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) dengan dana sebanyak RM2 bilion di bawah Bajet 2022.

32. Skim ini membantu golongan muda untuk mendapatkan pinjaman dengan lebih mudah walaupun tidak mempunyai slip gaji. Pinjaman ini dijamin oleh Kerajaan.

Agenda Bumiputera

Keluarga UMNO yang saya kasihi,

33. Agenda pemerkasaan Bumiputera adalah agenda UMNO dan saya akan pastikan agenda parti keramat ini akan dijayakan. Dalam Bajet 2022, peruntukan kepada orang Melayu dan Bumiputera adalah sebanyak 75 peratus daripada agihan peruntukan mengikut kaum.

34. Antara inisiatif utama ialah:

Pertama, Program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan sebanyak RM4.8 bilion.

Kedua, Kemudahan pendidikan anak-anak Melayu dan Bumiputera melalui MARA, UiTM sebanyak RM6.6 bilion.

35. Dalam RMK-12 misalnya, 6 sasaran dan 7 strategi khusus telah ditetapkan. Ini bagi Mencapai Kesaksamaan Keberhasilan Bumiputera. Melalui TERAJU, saya juga telah melancarkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) untuk memperkasa ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera.

Agenda Basmi Kemiskinan

36. Saya banyak mendengar perbahasan perwakilan yang menyentuh mengenai soal kemiskinan. Saya sendiri lahir dari keluarga miskin. Anak Penoreh getah. Saya merasai dan memahami apa erti kesusahan sebab itulah agenda basmi kemiskinan menjadi keutamaan saya.

37. Pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan ramai golongan M40 tergelincir kepada B40.

38. Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi sedang melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025.

39. Unit Kemiskinan khusus telah ditubuhkan di EPU, di negeri dan daerah. Saya mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu (BMTKM) di peringkat Pusat bagi memantau perkembangan pelaksanaan program rintis yang dilaksanakan di 80 lokaliti di seluruh negara.

40. BMTKM akan melibatkan kerjasama strategik dengan semua pihak, Kerajaan Negeri, kementerian-kementerian, pemimpin setempat, universiti tempatan, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO). Insya-ALLAH, sasaran ini akan dapat dicapai akhir tahun 2025.

41. Selagi hayat dikandung badan, nasib Melayu dan Bumiputera akan saya perjuangkan.

Keluarga UMNO yang saya kasihi,

Bahasa Melayu

42. UMNO juga mesti menjuarai dalam memartabatkan bahasa Melayu seperti di dalam perlembagaan persekutuan perkara 152 yang juga termaktub dalam perlembagaan UMNO fasal 3.5. Sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu, justeru tidak ada sebab untuk kita rasa janggal berbahasa melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.

43. Akta Dewan Bahasa dan Pustaka akan diperkasakan dengan DBP akan diberikan kuasa penguatkuasaan. Sebagai contoh penggunaan bahasa Melayu dipapan-papan tanda.

44. Pelajar asing yang menuntut di dalam negara wajib mengambil subjek bahasa Melayu, saya bercita-cita agar bahasa Melayu menjadi bahasa kedua Asean.

Majlis Amanah Rakyat (MARA)

45. Saya banyak mendengar keluhan daripada perwakilan berkaitan pembangunan luar bandar, termasuk rakan-rakan kita dari Sabah. Saya beri jaminan kepada rakan-rakan di luar bandar, peruntukan sebanyak RM10.53 bilion bagi tahun 2022 untuk membantu dan memperkasakan masyarakat luar bandar. Insya-ALLAH ‘Membandarkan Luar Bandar’ dengan menyediakan segala kemudahan yang berkualiti dapat kita sediakan.

46. Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sebenarnya sangat dekat di hati UMNO kerana ianya ditubuhkan hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera yang mahu melihat untung nasib orang melayu ketika itu dibela.

47. MARA kini mempunyai 344 institusi pendidikan dengan 1.4 juta pelajar. Bermula pendidikan peringkat menengah, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) hinggalah Institusi Pendidikan Tinggi MARA.

48. Alhamdulillah, MARA yang menjadi tonggak dalam membantu ekonomi dan pendidikan orang melayu bumiputera banyak melahirkan orang melayu pakar ekonomi, pakar bedah, peguam, guru, ahli korporat, bahkan saya sendiri merupakan penerima manfaat bantuan kewangan MARA ketika mendapat pendidikan lalu. Terima Kasih UMNO! Terima Kasih MARA!.

PENDIDIKAN TINGGI

49. Menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk melahirkan graduan TVET adalah agenda utama pendidikan negara. TVET sudah pun menjadi pilihan utama kerjaya.

50. Negara kita yang sering mengharapkan pekerja asing yang tinggi dalam pasaran buruh, wajib kita tangani dengan menyediakan graduan TVET berkualiti yang menepati keperluan industri.

51. Kita akan memberi penekanan khusus untuk Pendidikan TVET negara. Majlis TVET Negara akan mempergiatkan segala perancangan agar TVET menjadi pilihan pertama, agar tidak lagi kedengaran TVET ini sebagai pilihan terakhir bagi anak bangsa dan belia untuk melanjutkan pelajaran juga kerjaya seperti negara maju yang lain.

Saksama Bersama Wanita

52. Banyak yang kita lakukan untuk memartabatkan golongan wanita dan anak muda. Sempena sambutan Hari Wanita 2022, saya mengumumkan enam inisiatif bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa. Sebagai contoh isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah. Juga kita akan beri Sebanyak 30 peratus kuota wanita dalam Lembaga Pengarah GLC/GLIC.

Gaji Minimum

53. Kos sara hidup semakin meningkat. Ini akan menekan golongan B40. Saya mendengar perbahasan yang dibawa oleh para perwakilan dan keluhan rakyat di luar sana. Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara.

54. Kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam keputusan ini dibuat termasuk kesannya kepada PMKS. Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum ini hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.

55. Selain itu, Insya-ALLAH Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi memanfaatkan lebih ramai iaitu hampir 9 juta penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM8.2 bilion pada hujung bulan ini.

56. BKM telah ditambah baik daripada bantuan tunai langsung sebelum ini. Nilai bantuan ditambah mengikut klasifikasi bilangan anak bagi isi rumah yang tidak mempunyai anak, mempunyai seorang hingga dua orang anak dan isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih serta memperkenalkan kadar tambahan bagi kategori isi rumah terhad kepada ibu/bapa tunggal (IBT) dan warga emas.

KEDAULATAN NEGARA

Keluarga UMNO yang saya kasihi,

57. Kerajaan ingin menegaskan bahawa Negeri Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak 16 September 1963. Segala tuntutan Sultan Sulu akan kita failkan pembatalan di mahkamah Paris, Perancis. Sebagai parti UMNO yang memperjuangkan Kemerdekaan tidak akan sesekali gadaikan kedaulatan negara kepada mereka yang ‘mimpi di siang hari’.

58. Kerajaan tidak akan berganjak walaupun seinci dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan negeri sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya.

KWSP

Keluarga UMNO Yang Dikasihi

59. Sepanjang Perhimpunan Agung UMNO ini, saya menerima ucapan tahniah dan terima kasih daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua-Ketua Sayap serta para perwakilan terhadap pengumuman pengeluaran khas KWSP.

60. Sebenarnya pengumuman ini telah saya bincangkan bersama Presiden parti sebelum pengumuman calon PRN Johor yang lalu.

61. Namun, saya pilih untuk mengumumkannya pada waktu dan ketika yang sesuai, kerana sepanjang musim PRN Johor ramai pihak melakukan pusingan U. janganlah cuba menangguk di air keruh atau lembu punya susu, sapi yang nak dapat nama.

62. KWSP adalah perjuangan UMNO, setelah selesai PRN Johor, Alhamdulillah, UMNO menang besar, sebelum merayakan Perhimpunan Agung UMNO inilah masa yang tepat untuk saya umumkan Pengeluaran Khas KWSP.

Maklumat Tambahan

Pandemik COVID-19 menyedarkan kita bahawa Jaringan Keselamatan Sosial negara mempunyai masalah sejak sekian lama. `

Sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus pencarum KWSP Bumiputera kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Malah, sebanyak 2.6 juta atau 25 peratus lagi mempunyai kurang daripada RM1,000 atau hampir kosong.

CADANGAN PEMBUBARAN PARLIMEN

Keluarga UMNO yang saya kasihi,

63. Dua kemenangan besar dalam PRN membuat kita menjadi lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera.

64. Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top Five’ parti.

65. Ini juga akan dibincangkan dengan MKT dan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Seri Paduka Baginda.

Langit mendung angin menderu,
Gugur setangkai bunga melati,
Biar bergaduh bertemu seteru,
Perlembagaan dijunjung Raja dihormati.

PENUTUP

Keluarga UMNO Yang Dikasihi

66. Sebelum saya menutup ucapan ini. Saya menyeru kepada seluruh Keluarga UMNO supaya merapatkan saf. Jangan benar mana-mana anasir yang boleh mengganggu gugat keharmonian keluarga kita.

67. Ini kerana hanya UMNO menjadi harapan. Rakyat telah cuba menukar Kerajaan tetapi terbukti hanya UMNO dan BN yang membela nasib mereka.

68. UMNO adalah Juara Rakyat!

HIDUP UMNO!!!
HIDUP UMNO!!!
HIDUP UMNO!!!

TAMAT

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit