PAU 2021 Pentas Suara Akar Umbi Perkukuh UMNO, Perwakilan Bukan Cakap Kosong – Khaled

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang sedang berlangsung sekarang ini adalah pentas suara akar umbi yang dilontarkan melalui para perwakilan dan pembahas yang berhujah.

Dalam hal ini beliau menolak dakwaan segelintir pihak bahawa parti cuba nak menutup pandangan atau pendirian pihak tertentu.

“Perwakilan UMNO bukanlah orang yang baru dalam politik, kerana mereka adalah orang yang sangat berpengalaman, matang dan mampu membuat penilaian, jadi sudah tentulah mereka akan bercakap yang mana matlamat mereka adalah untuk melihat UMNO kembali kuat.

“Mereka ini bersuara bagi pihak akar umbi untuk parti ini boleh menang serta boleh membentuk kerajaan dalam PRU akan datang dan PAU adalah platform mereka untuk bersuara… maka sebab itulah mereka bersuara yang mana niatnya adalah untuk kemenangan dalam PRU,” katanya.

Berkaitan dengan pandangan yang melihat bahawa PAU 2021 diwarnai dengan hal-hal berkaitan PRU dan pemilihan parti maka ujarnya ia adalah pandangan yang perlu didengar oleh para pemimpin.

“PAU ini diadakan sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka diadakan yang mana kedua-duanya kita menang besar, maka tak masuk akal apabila ia disebut dalam setiap perbahasan.

“Kita kena dengar juga apa pandangan akar umbi yang di bawa oleh para perwakilan. Jika mereka menyuarakan berkaitan PRU maknanya ia datang juga dengan komitmen persediaan yang mereka telah lakukan dan bukan hanya cakap-cakap kosong.”

Jelasnya, PAU adalah tempat yang setiap tahun diadakan dan dengar suara akar umbi untuk menyalurkan pendapat melalui perwakilan yang telah dilantik.

“Jadi adalah tidak wajar dan tidak tepat untuk tutup mulut mereka. Soal setuju atau tidak itu soal lain tapi ini adalah pandangan mereka dan sekarang ini kita tidak boleh sekat apa-apa kerana zaman bermaklumat,” katanya lagi.

Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian menerusi segmen FBLive ‘Pentas Perhimpunan Agung UMNO 2021’ yang disisrkan secara langsung, hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.