Ismail Sabri Jamin PRU15 Akan Dibincangkan Dalam “Top Five” UMNO

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan isu pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dibincang dalam kalangan “Top Five” UMNO.

“Top Five” merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

Ismail Sabri berkata selepas perbincangan dengan keempat-empat pemimpin parti, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

”Jika kita (UMNO) yakin dengan kemenangan kita tak akan tunggu walau satu saat pun untuk bubar Parlimen untuk buat PRU15,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan UMNO yang berada di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir hari ini.

Isu mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 merupakan antara perkara yang dibangkitkan perwakilan UMNO termasuk ketiga-tiga sayap parti itu dalam perbahasan pada perhimpunan agung parti itu.

“Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top Five’ parti,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata untuk memenangi PRU15, UMNO mesti bersatu.

“Saya umumkan pada 1 April dalam masjid kita akan rapatkan saf dan dalam UMNO juga kita mesti rapatkan saf bersama-sama rakan kepimpinan parti. Kalau kita bersatu insya-Allah kemenangan PRU15 di tangan UMNO,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit