Ucapan Presiden: MT, Menteri UMNO Sokong Pendirian Mahu Parti, Kerajaan Seiring

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Permulaan yang baik yang mempromosikan semangat keharmonian dalam parti dan kerajaan.

Itu reaksi rata-rata pemimpin dalam UMNO dan kerajaan mengenai ucapan dasar Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan bahawa kerajaan dan parti perlu bergerak seiring demi membangunkan negara serta memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memimpin kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia juga jelas membayangkan dambaan perwakilan yang mahu melihat perkara itu.

“Presiden sebut hampir 10 kali nama Perdana Menteri dan ia mendapat sambutan amat riuh oleh ahli.

“Apatah lagi bila disebut dengan jelas oleh Presiden bahawa amat perlu untuk wujud keseiringan antara parti dan kerajaan memerintah dan beliau letakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Perdana Menteri,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu kepada pemberita selepas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021, hari ini.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata ucapan presiden itu membuktikan tiada pecah belah berlaku dalam parti.

Senada dengan Shahril, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau Khairy Jamaluddin yang berkata ucapan presiden nyata menghapuskan persepsi bahawa sebelum ini terdapat kabilah atau kiblat tertentu dan wujudnya kumpulan dan ‘kluster’ tertentu dalam UMNO.

“Saya lihat ia satu ucapan yang mempromosikan semangat keharmonian dalam parti, terutama antara pemimpin parti dan pemimpin UMNO dalam kerajaan, saya lihat ini satu perkembangan baik dalam kita membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya yang juga Menteri Kesihatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata penting untuk pemimpin parti dan kerajaan menggembleng tenaga bersama bagi meneruskan kelangsungan perjuangan membela rakyat.

“Cukup-cukuplah kita menuding jari sesama kita, penting untuk kita rapatkan barisan dan pastikan kelangsungan perjuangan akan diterima rakyat sekiranya diadakan pilihan raya umum nanti,” kata Menteri Pertahanan itu.

Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Noh Omar pula berkata selain perpaduan dalam parti, ucapan presiden yang menyentuh mengenai bantuan kepada usahawan membuktikan parti serius dalam menjalankan kerjasama dengan kerajaan untuk membantu kelangsungan hidup rakyat selepas impak pandemik COVID-19.

“Insya-Allah sebagai menteri keusahawanan (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) saya akan bantu usahawan, memudahkan pinjaman, dan kita harap supaya harapan presiden bela nasib usahawan ini akan saya cuba laksanakan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021, Ahmad Zahid mengulangi pendirian UMNO untuk terus mendukung kepimpinan Ismail Sabri dalam membangunkan semula negara. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit