Kibaran ‘Sang Saka Bangsa’ Tanda Bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2021

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Kibaran bendera ‘Sang Saka Bangsa’ di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi tanda bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Upacara menaikkan itu dimulakan dengan menaikkan bendera UMNO yang diiringi lagu Wanita, seterusnya Pergerakan Pemuda dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang dilakukan oleh ketua masing-masing.

Wanita UMNO disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pergerakan Pemuda UMNO oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki manakala Datuk Zahida Zarik Khan bagi Pergerakan Puteri UMNO.

Ini kemudian disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dengan ‘Sang Saka Bangsa’ sempurna dikibarkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut diiringi Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hadir sama menyaksikan upacara naik bendera adalah Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO.
Selesai acara yang penuh simbolik itu, Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka.

Terdahulu anggota MKT mengabadikan momen PAU 2021 ini dalam sesi bergambar yang turut melibatkan anggota Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
PAU 2021 ini mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.

Sehari sebelumnya, perhimpunan agung bagi Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO lancar dilaksanakan selepas perasmian secara serentak disempurnakan oleh Timbalan Presiden parti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.