Negara Kehilangan Sasterawan Negara, Pak Samad – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A. Samad Said atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad.

Beliau menyifatkan pemergian tokoh sastera itu sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan bangsa.

Menurut Ahmad Zahid, Allahyarham telah mengabdikan hampir seluruh kehidupannya kepada dunia kesusasteraan serta meninggalkan sumbangan besar menerusi karya, pemikiran dan keberaniannya menyuarakan nurani masyarakat.

Katanya, karya dan pemikiran Pak Samad akan terus dibaca, direnungi serta diwarisi oleh generasi demi generasi sebagai sebahagian daripada khazanah berharga bangsa Malaysia.

“Pemergian seorang sasterawan tidak pernah memadamkan karya dan pemikirannya yang akan terus hidup,” katanya.

Beliau turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

Ahmad Zahid juga mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO