Isu Makanan Tidak Sempurna: Keselamatan Pelajar Tidak Boleh Dikompromi

JEMPOL, 25 Nov – Keselamatan dan kesihatan pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tidak boleh dikompromi, khususnya susulan insiden penyediaan makanan yang dilaporkan tidak dimasak dengan sempurna oleh kontraktor pembekal makanan di MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidi Abdul Kadir berkata, insiden berkenaan amat membimbangkan dan menuntut siasatan segera serta tindakan tegas sekiranya kontraktor terbabit didapati melakukan kecuaian atau melanggar syarat kontrak.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap ketegasan Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang mahu perkara itu disiasat segera bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

“Keselamatan dan kesihatan pelajar bukan perkara yang boleh dikompromi. Kita tidak boleh mengambil mudah soal penyediaan makanan kerana ia melibatkan kesihatan, kebajikan dan keselamatan anak-anak yang berada di bawah jagaan institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Zaidi, perkara itu lebih membimbangkan apabila calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 sedang menduduki peperiksaan yang berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember ini.

Katanya, para pelajar sepatutnya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan tanpa perlu dibebani kebimbangan terhadap risiko keracunan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan, emosi dan prestasi akademik mereka.

Beliau menegaskan bahawa ibu bapa menyerahkan amanah kepada pihak institusi pendidikan untuk memastikan kebajikan serta keselamatan anak-anak mereka sentiasa terpelihara.

“Amanah yang diberikan oleh ibu bapa ini tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak, termasuk kontraktor yang dilantik untuk menyediakan makanan kepada pelajar.

“Jangan kerana mahu mengejar keuntungan, keselamatan dan kesihatan anak-anak kita dikorbankan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya siasatan menyeluruh dan segera dilaksanakan terhadap kontraktor terbabit, selain tindakan tegas termasuk penamatan kontrak serta penyenaraihitaman dipertimbangkan sekiranya pelanggaran serius terbukti berlaku.

Beliau turut mencadangkan supaya pemeriksaan mengejut dan pemantauan berkala dilaksanakan di seluruh dewan makan MRSM bagi memastikan standard kebersihan, kualiti serta keselamatan makanan sentiasa dipatuhi.

Menurutnya, langkah pencegahan perlu dipertingkatkan, khususnya sepanjang musim peperiksaan SPM bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku insiden keracunan makanan yang serius sebelum tindakan sewajarnya diambil.

“Tiada kompromi terhadap sebarang kecuaian yang boleh membahayakan kesihatan dan masa depan generasi pewaris negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO