Zahida Ingatkan Tumpu Untuk PRU15, Hentikan Usaha Pihak Pesongkan UMNO

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mengingatkan anggota perwakilannya bahawa tumpuan selepas ini ialah kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, ini adalah untuk membolehkan UMNO menguasai kerajaan dan berbakti kembali kepada rakyat sebagaimana yang pernah dilaksana dahulu.

“Setiap dari kita wajib menumpukan persiapan kepada PRU ke 15. Sebarang usaha memesongkan tumpuan ini harus dihentikan, ‘make a full stop’. Ini termasuk sebarang gerakan untuk mengadakan pemilihan parti lebih awal dari PRU.

“Kita kenal siapa yang bertungkus-lumus dalam setiap pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) untuk memastikan kemenangan parti. Baik di Sabah, di Melaka dan di Johor. Siapa pula yang hanya akan ligat berpusing berkempen hanya untuk jawatan dalam parti tetapi hanya acuh tak acuh apabila parti berhadapan dengan lawan.

“Ada yang sangat berkira bila turun membantu parti, tetapi menunjukan kemewahan bila berkempen untuk diri sendiri. Buatlah PRU dulu, kita tengok siapa yang paling banyak menyumbang untuk kemenangan parti, kita akan angkat mereka setinggi-tingginya dalam pemilihan parti kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO menerusi perhimpunan agungnya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Ujar Zahida, matlamat kini adalah untuk melihat UMNO dan BN kembali gagah, berkuasa dan mendapat mandat yang kukuh demi negara tercinta.

“Jangan benarkan kapal kita pecah, kerana kalau ia pecah lemaslah anak-anak kita. Harapan anak dan masa depan negara hanyalah kepada kita. Tunjukan kesetiaan kita kepada parti yang menjadi kapal ini.

“Patuhi nakhoda kapal ini kerana nakhoda inilah yang menyelamatkan kapal yang hampir karam, kini sedang belayar megah menuju matlamat.

“Ingatlah, parti kita ini telah memberi peluang untuk puteri tampil ke depan. Ia adalah harapan untuk kita semua. Ia juga harapan seluruh generasi muda terhadap kita.”

Selaras dengan itu tegas Zahida, buat masa ini, tenaga dan fokus kita seharusnya hanyalah untuk PRU dengan kestabilan negara, kestabilan parti adalah pra syarat sebelum melangkah ke pertempuran yang lebih besar.

“Pergerakan Puteri harus berkembang sebagai sayap parti yang mantap. Selain mempunyai identiti sendiri, kita mesti menunjukan kemahiran kita dalam bidang-bidang tertentu.

“Sebab itu dalam gerak kerja parti kita mesti lebih pantas mendapat dan menganalisis maklumat dan memahami konsep big data dan analitik. Membuat keputusan berdasarkan data bukan hanya sentimen.”

Dalam masa yang sama, Zahida mengalu-alukan langkah UMNO mewujudkan sekolah politik untuk bakal-bakal pemimpin.

“Kita kena bersedia sekiranya lebih ramai di kalangan kita diberi peluang menjadi calon atau diletakkan di tempat-tempat strategik kerajaan.

“Di kalangan kita bukan sahaja dilihat memiliki keyakinan yang tinggi untuk memimpin, tapi mampu berkomunikasi dengan baik, tidak ‘blur’ bila berhadapan dengan orang.

“Kita juga mesti faham banyak prinsip-prinsip demokrasi dan integriti dalam tadbir urus yang baik. Kita juga mesti dilihat mampu menguasai setiap isu yang berkaitan politik, ekonomi, undang-undang, bahkan hubungan antarabangsa.”

Selaras itu katanya, kepimpinan Puteri mesti dilihat memahami konsep asas hubungan etnik, kelas dan kesaksamaan gender.

“Kita mesti ada ‘class’ tersendiri supaya kita tahu sempadan agar tidak bersifat rasis dan tidak membenarkan kaum hawa menjadi bahan persendaan sesiapa. Puteri mesti menjadi sekolah kepada pembangunan pemimpin untuk masa depan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.