Wanita UMNO Konsisten Perjuangkan 30 Peratus Wakil Wanita Dalam Pembuat Dasar, Politik

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Wanita UMNO sentiasa menyokong usaha mencapai matlamat 30 peratus penyertaan wanita dalam pembuat dasar negara, kata Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurutnya, sebahagiannya telah dicapai melalui partisipasi dalam pentadbiran awam sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.


“Kesungguhan dalam memartabat dan memperkasakan peranan wanita di arena kepimpinan, bukanlah satu usaha yang main-main atau secara semberono. Komitmen berterusan telah lama kita perjuangkan sejak parti ini ditubuhkan.

“Namun jumlah penyertaan wanita di peringkat pembuat dasar politik dan keusahawanan masih jauh ketinggalan,” kata Noraini di dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita di Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Jelas Noraini, merujuk kepada Global Gender Gap Report, 2021 (GGGP 2021) yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) menunjukkan Malaysia berada di ranking ke-70 daripada 156 buah negara dari segi penyertaan wanita dalam sektor pendidikan.

“Ini diikuti dengan sektor kesihatan dan kelangsungan hidup pada posisi ke-74. Sektor ekonomi pula pada tangga ke-104, dan yang paling rendah adalah dalam bidang politik, iaitu pada kedudukan ke-128.

“Walaupun pada masa kini golongan wanita telah memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama, namun, terdapat sekitar 250 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang masih belum mempunyai komposisi pengarah wanita,” kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi.


Justeru ujarnya, Wanita UMNO mengalu-alukan keputusan kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti untuk mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senarai awam.

“Ini menunjukan komitmen kerajaan dalam meningkatkan partisipasi wanita dalam pengurusan ekonomi dan perniagaan.

“Wanita UMNO berharap, pelaksanaan dasar ini, yang bakal berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain, akan menjadi kenyataan,” kata Menteri Pengajian Tinggi itu lagi.

Manakala partisipasi dalam bidang politik ulasnya lagi, UMNO dan BN kini telah mula mengiktiraf peranan wanita sebagai calon di dalam pilihan raya berbanding sebelum ini.

“Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), calon wanita BN hanya mewakili 11.7 peratus daripada keseluruhan calon yang ditampilkan. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, lima wanita telah dicalonkan berbanding hanya dua calon pada PRU-14.

“Kita berterima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri yang memberi ruang lebih besar kepada wanita dalam PRN Johor. Inilah kali pertama BN meletakkan 25 peratus calon wanita. Walaupun kita minta 30 peratus. Dan semua calon Wanita UMNO menang, tahniah,” katanya.

Seterusnya ujar Noraini, Wanita UMNO berharap tren pencalonan ini akan diteruskan dalam PRU akan datang.

“Kita telah buktikan. Apabila diberikan amanah, Wanita UMNO mampu memberikan kemenangan kepada UMNO dan BN.

“Insya-Allah kemenangan ini tidak akan melalaikan kita, malah ini sebagai pembakar semangat untuk kita tambah baik dan perhebatkan gerak kerja kita,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.