Wanita UMNO Jambatan Penghubung Antara Rakyat Dengan Pemimpin – Noraini

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan Wanita UMNO bukan hanya sekadar bertindak sebagai tulang belakang parti bahkan menjadi jambatan penghubung di antara rakyat dengan pemimpin.

Katanya, Wanita juga disifatkan sebagai peneraju perjuangan kerana telah banyak menaburkan bakti dalam apa juga situasi, termasuk bertindak sebagai kumpulan penting ketika parti berhadapan dengan pilihan raya.

“Benarlah bagai dikata, Wanita UMNO memang luar biasa bukan sekadar tulang belakang parti tapi juga sebagai pendamai dan perayu undi bahkan lebih daripada itu wanita adalah peneraju perjuangan.

“Bahkan sejak dari tahun 2018, sebaik sahaja kita kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lepas, melalui Jalinan Rakyat Wanita, jentera kita telah mula bergerak aktif, tanpa mengenal siang dan malam mendekati serta menyelami denyut nadi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Katanya tidak hanya terhenti di situ, Wanita memainkan peranan menyusun dan memperkemas gerak kerja strategik serta bancian sokongan, demi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Buktinya, semasa PRN Melaka baru-baru ini… juga di PRN Johor beberapa hari lalu, bancian wanita telah dijadikan as sole sumber rujukan utama kepada kepimpinan UMNO. Kenapa itu berlaku?

“Tanpa niat untuk membangga diri bancian Wanita UMNO selalunya sangat realiable bukan sekadar hearsay tetapi data-data yang kita peroleh amat terperinci, sahih lagi dipercayai. Apa yang Wanita kata, apa yang Wanita perjuangkan, Insya-Allah akan kita kotakan.

“Kita tidak seperti, ada satu parti itu, kononnya perjuangkan orang muda, sepatutnya hantar ramai calon yang paling muda, tetapi rupanya BN parti yang telah meletakkan calon yang paling muda. Ada satu lagi parti ni, selalu bercakap pasal hal-hal berkaitan wanita, tapi, yang letak calon-calon wanita paling ramai adalah parti kita, BN!” tegas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.