UMNO Perlu Lebih Inklusif, Jangan Leka Siri Kejayaan Yang Dikecapi – Perwakilan

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli sama ada dari akar umbi sehingga kepimpinan parti UMNO dan tidak ketinggalan juga rakyat negara ini.

Malam tadi, pentas PAU ini dibuka dengan acara perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan manakala pada hari ini mereka akan menunaikan tanggungjawab menyempurnakan persidangan masing-masing.

Tinjauan UMNO-Online mendapati rata-rata dari kalangan perwakilan merasa amat teruja kerana dapat menghadiri PAU bagi tahun ini walaupun mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Salleh menegaskan bahawa UMNO tidak perlu leka dengan kemenangan besar yang telah dikecapi pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kerana paling penting adalah kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita harus berkerja dan menyakinkan bahawa UMNO ini satu wadah untuk rakyat Malaysia dan bukan saja orang Melayu malah UMNO perlu dilihat lebih ‘inklusif’ kepada kaum lain. UMNO harus bersatu padu untuk menuju pada PRU-15 dan ini bukan soal pemilihan tetapi ini adalah untuk UMNO menang pada PRU akan datang.

“Paling penting PRU-15 perlu diadakan dalam tahun ini kerana momentum jentera UMNO/BN sangat bagus dan Insya-Allah akan mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian persidangan perwakilan sayap-sayap UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Sementara itu bagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menyambut saranan yang diberikan oleh Timbalan Pengerusi BN iu agar jangan terbuai dan leka dengan siri-siri kejayaan yang telah dikecapi oleh UMNO.

“Saranan yang diberikan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sarat dengan pesanan supaya jangan terbuai dan ianya sangat bermanfaat sekaligus diperhalusi di peringkat sayap-sayap UMNO.

“Ketumbukan UMNO perlu memantapkan dan memperkasakan kerana peperangan yang lebih besar adalah PRU dan yang penting meletakkan UMNO/BN ke tempat asalnya,” ujarnya.

Dalam pada itu Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Noor berkata perkara yang paling menarik yang telah diperkatakan oleh Mohamad adalah bagaimana UMNO sebagai sebuah parti perlu mempersiapkan diri di masa hadapan.

“Apabila melihat demografi pengundi pada hari ini terutamanya golongan muda ini tidak lagi terkesan sekiranya UMNO terus menjual jasa, bakti dan juga sejarahnya.

“Ini menyebabkan UMNO perlu bersedia misi dan visi yang jelas bagaimana negara ini perlu dibentuk untuk masa akan datang dan UMNO tidak boleh lagi bergantung dengan manifesto, tawaran bantuan-bantuan kerana itu semuanya telah berlalu,” ujarnya.

PAU 2021 akan berlangsung bermula semalam sehingga 19 Mac dengan seramai 5,571 perwakilan akan terlibat manakala Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dihadiri oleh 2,891 perwakilan yang melibatkan beberapa buah dewan digunapakai sepanjang persidangan tersebut.

Wanita UMNO akan bersidang di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Abdul Razak 4 dan Puteri di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit