Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO – Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2021

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
DATO’ DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
17 MAC 2022 (KHAMIS)
DEWAN TUN RAZAK 4, PWTC

MENJULANG MANDAT RAKYAT

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknati mereka dan mereka melaknati kamu”

(Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)

Sidang perwakilan Pemuda yang dihormati sekalian,

MANDAT YANG TERLUCUT
1. Saya memulakan Ucapan Dasar tahun ini dengan satu hadis yang sangat besar kesan dan dampak terhadap makna dan erti sebuah MANDAT yang menjadi ikatan amanah antara pemimpin dan rakyat.

2. MANDAT adalah kepercayaan yang bermuara daripada keyakinan dan bertatahkan amanah yang dipertanggung-jawabkan kepada seseorang. MANDAT adalah amanah yang perlu ditatang dengan penuh kesedaran, dipertahankan dengan rasa keinsafan dan ditanggung dengan penuh rasa kebertanggungjawaban.

3. Betapa kerasnya malapetaka bagi pemimpin yang tidak menghormati rakyatnya. Betapa besarnya bencana apabila suara rakyat diketepikan sewenangnya. Betapa hinanya pemimpin apabila MANDAT rakyat dikhianati dan diperkotak-katikkan serakusnya.

4. Benarlah perancangan Allah sentiasa punya seribu satu hikmah. Meski Allah mentakdirkan kita dengan suatu kekalahan, terlucut MANDAT yang sekian lama di gengaman, sehingga akhirnya kita rebah kecewa, bahkan hampir karam seluruh bahtera.

5. Namun hikmah kejatuhan menumbuhkan kesedaran akan makna perjuangan dan kesetiaan sejati. Siapa mahukan jawatan, jawatan tidak ada lagi. Siapa yang mahukan harta, UMNO sudah tidak punya apa-apa lagi. Siapa mahukan kemahsyuran, parti sudahpun hampir karam tidak bermaya lagi. Yang ada ketika itu hanyalah kesetiaan. Yang tinggal ketika itu hanyalah sisa-sisa perjuangan.

6. Sejujurnya, saya amat berbangga dengan Pemuda-Pemuda di hadapan ini yang terus bertahan dan kekal bersama. Yang teguh berdiri walau diancam sang penguasa. Laksana batang manau, seribu kali embat haram tak putus.

7. Kita membantu di saat cacian kata nista. Kita teguh berdiri mengilas tangan mempertahankan hak rakyat jelata. Kita masih boleh tersenyum walau pun hati terluka. Betapa indahnya perjuangan apabila diikat dengan keimanan, disulami ukhuwah persahabatan dan dipasakkan pada tunjang penyatuan.

8. Sewaktu COVID-19 memuncak, kalianlah yang terkehadapan mempertaruhkan nyawa dan menggadaikan harta, meninggalkan keluarga demi membantu rakyat yang sedang menderita. Bila musibah banjir, kalian jugalah yang mengerah keringat tidak kenal erti siang dan malam, sanggup berkenu, mendayung sampan, menyelamatkan mangsa dan menyampaikan bantuan, walaupun nyawa jadi taruhan.

9. Semuanya sederap, semuanya sepakat atas agenda PEMUDA BANTU RAKYAT! Dari lubuk hati saya kalianlah WIRA sebenar UMNO. Terima kasih pemuda-pemudaku GENERASI BANGKIT KEMBALI!

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu layuan,
MANDAT diberi biar terpasak,
Dijulang tinggi diremeh jangan.

BAHANA MEREMEHKAN MANDAT
Sidang perwakilan Pemuda yang dihormati sekalian,

10. Apabila Kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada malam 9 Mei 2018, kita menghormati suara rakyat. Malahan peralihan kuasa kali pertama dalam sejarah negara, ternyata berjalan dengan tertib dan selamat. Meski perit dengan kekalahan, asuhan UMNO mengajar pemimpinnya bahawa MANDAT rakyat mesti dihormat. Didikan UMNO mengajar ahlinya bahawa suara rakyat mesti sentiasa diangkat.

11. Malangnya apabila rakyat memilih Pakatan Harapan (PH), MANDAT yang diberikan mulai dipermain dan mulai diperkotak-katikkan. Harapan setinggi gunung yang diletakkan pada PH untuk mentadbir lebih baik, lebih berintegriti, lebih cekap, lebih beramanah kononnya. Namun, rupanya INDAH KHABAR DARIPADA RUPA. Sebaliknya, politik dendam membunuh pesaing, melondeh aib serta membenam peribadi pula menjadi acuan utama PH dalam mengurus kuasa, mentadbir negara.

12. Natijahnya cukup memeritkan apabila negara yang selama 61 tahun begitu pesat membangun, kini ditinggalkan perlahan-lahan oleh negara jiran. Politik dendam PH yang mempolemikkan semua projek-projek BN terdahulu telah merencatkan perkembangan ekonomi negara.

13. MRT, LRT3, ECRL dan HSR yang sepatutnya menjadi penanda aras kemajuan infrastruktur kita telah diperkotak-katik dan ditolak-tarik menurut nafsu serakah politik mereka. Dasar yang bermanfaat seperti UTC, Klinik 1Malaysia, BR1M cuba dipadamkan legasinya daripada sejarah negara.

14. Kesan dasar caca-merba PH sangat memilukan negara. Pada 2017 ketika kita memerintah, pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara berjumlah 13.5 bilion USD. Ketika itu, FDI ke Indonesia hanyalah 4.5 bilion USD. Tetapi pada tahun 2020, FDI yang memasuki Malaysia menjunam ke paras 2.5 bilion USD. Sedangkan FDI ke Indonesia pula mencanak ke angka 18 bilion USD.

15. Apa sudah jadi dengan negara kita? Kita yang asalnya menjadi destinasi pelaburan utama Asia Tenggara, kini menjunam ke tangga ke enam. Di belakang Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

16. Bursa Malaysia jatuh, pertumbuhan ekonomi terencat, bantuan tunai semakin kecil, insentif pekebun dan nelayan diancam serta kuasa beli rakyat semakin kurang.

17. Ini belum dikira lagi bagaimana aset-aset negara dijual tanpa ganti. IHH yang dianggap sebagai antara kumpulan perubatan swasta terbesar dunia pula digadai kepada pelabur asing.

18. Tidak cukup dengan itu, Bandar Malaysia dan aset-aset milik PNB, Tabung Haji (TH) pun disentuh juga. Antaranya termasuklah jualan lambak aset-aset TH kira-kira 77 ribu hektar tanah ladang TH Plantations atas alasan kerugian.

19. Pemuda UMNO lah antara yang paling awal bangun dan lantang mempertahankan. Kita menolak ladang-ladang ini cuba dijual dengan harga yang murah melalui transaksi yang sangat meragukan. Akhirnya penjualan dibatalkan dan tanah-tanah ini kekal milik umat Islam.

20. Hari ini, kita berbangga apabila TH Plantation berjaya merekodkan keuntungan sebanyak RM138 juta. Bayangkan jika tanah-tanah sawit itu terjual pada zaman PH dan PN, apa agaknya yang tinggal kepada Tabung Haji? Kerana itulah Nabi mengingatkan agar urusan itu mesti diserahkan kepada yang ahli.

Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya: Apabila sesuatu urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran itu. (Hadith Riwayat Bukhari)

21. Sudahlah ekonomi rosak, institusi negara dan perlembagaan pula mahu dirobek akarnya. Perjanjian ICERD dan Statute Rome yang mencabar kedudukan Raja-Raja Melayu mahu diratifikasikan. Hak hak istimewa Melayu-Bumiputera dipersoalkan. Hubungan antara kaum pula menjadi semakin renggang.

22. Kemuncak kemarahan rakyat kepada pengkhianat MANDAT, mula dizahirkan melalui siri-siri Pilihanraya Kecil, apabila rakyat menolak PH yang bermula di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis.

23. Bagaikan terkena tulah akibat mengkhianati MANDAT, PH mula bersengketa dan berantakan sesama sendiri. Mula berebut ghanimah, berebut kedudukan, berebut jawatan, sehingga akhirnya Kerajaan PH 22 bulan tumbang apabila sesama sendiri saling berkhianat.

24. Namun UMNO pula yang dicuba dimarah. Mereka yang berbalah, orang lain yang dipersalah. Bagai buruk muka, cermin dibelah. Bagai tidak tahu menari, tetapi disalahkan lantai tinggi rendah.
Ku sangka buih atas permatang,
Rupanya cili di dalam pasu, Ku sangka PH rakyatkan senang, Rupanya janji semuanya palsu.

Sidang perwakilan pemuda sekalian,

KERAJAAN TANPA MANDAT

25. Ketika Kerajaan PH tumbang, Pemuda berpendirian tegas. Kita mahukan MANDAT dikembalikan kepada rakyat. Kita mahu memulangkan semula kuasa memilih itu kepada rakyat. Kita menolak sebarang Kerajaan pintu belakang. Kerana kita tahu berkongsi kuasa dengan pengkhianat MANDAT, hanya akan menatijahkan persengketaan dan meruntuh kestabilan.

26. Walau bagaimanapun, kita terpaksa akur menjunjung titah Agong yang bimbang keadaan
COVID-19 yang mula memuncak. Pertikaian penafsiran perlembagaan berkenaan kuasa membubar Yang Dipertuan Agong tanpa nasihat Perdana Menteri juga menambah rumit dan sulit keadaan.

27. Akhirnya demi keselamatan rakyat, demi menjunjung titah DiRaja dan demi menjaga perlembagaan negara, kita akur berkongsi kuasa. Kita sepakat menubuhkan ‘Kerajaan Baru’ yang bersifat sementara. Kita bersetuju mewujudkan ‘Kerajaan Campuran’ dengan syarat segala tuntutan rakyat ditunaikan segera.

28. Realitinya kita sahaja yang berbaik sangka, sedangkan mereka sekadar bermuka-muka. Kita bekerja di hadapan, mereka galak menanam ranjau di belakang. Benarlah kata orang tua-tua, bekerja dengan pengkhianat belum tentu rumah selamat.

29. Mana mungkin sebuah kestabilan dapat dicapai sekiranya permuafakatan tidak dilandas atas kejujuran dan keikhlasan. Mana mungkin permuafakatan boleh kekal kiranya ‘Scheme of Thing’ yang menjadi caturan.

30. Kononnya melalui ‘Scheme of Thing’, Abah boleh beli orang UMNO dengan wang. Kononnya
Abah mampu perdayakan orang UMNO dengan jawatan. Namun majoriti Ahli UMNO terutamanya Pemuda-Pemuda UMNO di hadapan saya inilah yang telah membuktikan bahawa KESETIAAN tidak boleh dijual-beli dengan jawatan. Perjuangan tidak boleh digalang-ganti dengan projek mahupun wang.

31. Pemuda ‘Generasi Bangkit Kembali’ ini telah bersumpah setia biar apa pun yang berlaku, biar halilintar membelah bumi, biarpun setinggi mana badai melanda, kita sama-sama pertahankan bahtera, sama-sama bersetia, melalui Perhimpunan Keramat ini bahawa: “Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah”.

32. Tiada dalam kepala mereka melainkan untuk memusnahkan parti kita. Tiada dalam jiwa mereka melainkan menyambung kerosakan Kerajaan PH semata. Malah dasar-dasar yang merugikan negara pada zaman PH kekal diteruskan pada zaman PN.

33. Projek-projek mega yang memanfaatkan rakyat seperti HSR pula dibatalkan. Anehnya ketika kempen PRN Johor, mereka berikrar pula mahu kembalikan projek HSR di negeri tersebut. Akal labah-labah, di gua buruk suka merakut. Mujurlah Bangsa Johor tidak mudah tertipu dan terikut.

34. Apabila kehidupan rakyat mula sengsara, Pemuda UMNO tiada pilihan melainkan perlu bersuara. Sebagai Jurubicara Rakyat, kita konsisten mendesak pengeluaran KWSP, kita mendesak moratorium pinjaman bank, kita mendesak bantuan tunai rakyat dipermudahkan, kita mendesak supaya insentif perniagaan diperbesarkan dan diperluaskan. Semua ini adalah demi membela rakyat.

35. Ketika itu ada yang tidak selesa. Kononnya desakan-desakan Pemuda ini adalah tanda gila kuasa. Kononnya Pemuda populis. Mereka mahukan Pemuda yang bisu dan taat tanpa banyak cerita. Jangan terlalu banyak bicara kerana ia mengganggu Kerajaan bekerja. Malah ada yang menyindir kononnya tuntutan kita ibarat seperti syarat Puteri Gunung Ledang pula. Tetapi apabila rakyat susah, rakyat menderita, rakyat sengsara bagaimana Pemuda boleh berdiam sahaja?

Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya: Tidak ada seorang pemimpin yang menutup pintu-pintu mereka daripada rakyat yang memerlukan, atau (menghalang daripada) yang ingin mengadu atau yang miskin, melainkan Allah akan menutup pintu langit (daripada memberi bantuan buatnya) terhadap segala aduannya, hajatnya atau kemiskinannya.
(Riwayat al-Tirmizi)

36. Kemuncak ketakutan Kerajaan PN hilang kuasa, apabila Abah mengisytiharkan darurat. Konon darurat ini untuk rakyat. Konon darurat ini agar negara selamat. Sedangkan jelas dengan pelaksanaan PKP separuh masak, bantuan terhad, SOP tidak cermat telah menyebabkan rakyat makin tenat dan melarat.

37. Siapa sebenarnya gila kuasa? Menggantung Parlimen dan memandulkan demokrasi hingga wang negara dibelanja tanpa had dan batasannya. Hutang negara naik mencanak sebanyak RM173.3 bilion hanya 18 bulan berkuasa. Tidak cukup dengan itu RM5 bilion Tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang Kerajaan kita dahulu bina disakau begitu sahaja. Semua ini dilakukan dalam keadaan tiadanya suara semak dan imbang melalui Parlimen. Semua ini dilakukan atas nama ‘DARURAT’.

38. Kemuncak kebobrokan Kerajaan PN apabila mereka tergamak menderhakai Raja hingga sanggup mendustai Tuanku kononnya baginda merestui penamatan darurat tanpa perlu ke Parlimen, hingga buat pertama kali dalam sejarah Majlis Raja-Raja menzahirkan titah dukacita.

39. Maka ketika itu bagaimana lagi UMNO boleh terus bersama mereka ? Bagaimana lagi UMNO boleh pertahankan pengkhianatan mereka? Kita bukanlah penderhaka ! Kita Melayu yang meletakkan taat setia kepada Raja dan negara. Mana mungkin kita menjadi sebahagian daripada mereka yang mempersenda rakyat dan mendustai istana kerana mahu terus menggenggam kuasa.

40. Inilah pengakhiran Riwayat, sebuah Kerajaan yang tidak punya MANDAT. Sudahlah melalui pintu belakang, khianat pula kepada rakan dan taulan, tergamak menipu rakyat jelata, dan akhirnya menderhakai istana. Jika sepat menghalang belida,
Ikan di pukat boleh mencelah,
Jika khianat bersarang di dada, Hubungan erat boleh terbelah.

Sidang perwakilan pemuda sekalian,

MENERAJU TANPA MANDAT
41. Demi mengelakkan pilihanraya umum diadakan, demi menjunjung Titah DiRaja, PN tiada banyak pilihan kecuali menggantikan nakhoda yang parah tercedera dengan yang baru. Memorandum persefahaman dengan parti-parti pembangkang terpaksa dimeterai, sementara komposisi kabinet dalam Kerajaan PN terpaksa dikekalkan.

42. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Tuhan mentakdirkan pemimpin kanan UMNO, Yang Amat Berhomat Dato’ Seri Ismail Sabri naik menerajui kerajaan campuran yang hampir karam. Namun harus kita ingat. Ini bukanlah Kerajaan mutlak UMNO. Komposisi BN masih jauh lebih kecil berbanding jumlah ahli Parlimen PN.

43. Meskipun nakhoda baru adalah pemimpin kanan UMNO, namun sebelah tangan tetap terikat. Atas sebab itu, hampir semua lantikan Kerajaan PN masih kekal serupa. Atas sebab itu, banyak dasar-dasar yang baik masih tersekat. Mujurlah Perdana Menteri kini Naib Presiden kita yang berani buat keputusan walaupun kuat ditentang. Terima kasih YAB Dato’ Seri Ismail Sabri yang telah meluluskan pengeluaran KWSP RM10K yang amat dituntut dan dinanti-nantikan oleh rakyat yang sememangnya sedang susah dan amat tertekan.

44. Namun hakikatnya kerajaan campuran ini amat bergantung kepada ihsan pembangkang.
Ugutan tekan ‘button’ bagaikan barang mainan. Andai kata ada yang berpaling tadah, sudah tentu Kerajaan musnah. Apatah lagi sebahagian besar mereka itu, punya sejarah kaki lompat parti. Dalam keadaan begini, bagaimana pelabur punya keyakinan dan kepercayaan? Apa jaminan Kerajaan tidak berubah buat kali keempat?

45. Pun begitu ada juga segelintir kita yang mulai alpa. Baru mengecap sedikit kuasa, dapat jawatan, dapat kedudukan, mulalah berlagak bagaikan Seludang Menolak Mayang . Lupa daratan, lupa pengkalan, lupa perjuangan. Lupa kepada parti yang mendokong dan mengangkatnya. Bagai pancang digoncang arus, bagai tuntung jarum dilaga.

46. Tetapi Alhamdulillah, meski ada segelintir yang tergelincir, saya bangga kerana masih ramai Pemuda tegar berpendirian. Ibarat akar memasak bumi, ibarat gunung yang menggapai tinggi.

47. Yang pasti, rintihan rakyat kekal menjadi keutamaan pemuda. Kita melihat, kita mendengar, kita merasai, getus suara rakyat yang kian meluat dengan tindak-tanduk Kerajaan yang tidak serasi dengan jiwa mereka. Getus inilah yang dibimbangi menjadi percik api yang membara, menjadi barah yang berbahaya, menjadi racun yang berbisa.

48. Kita tidak menyalahkan YAB Perdana Menteri. Kita tahu beliau juga terikat dengan banyak tuntutan tidak munasabah, baik daripada parti sekutu mahupun seteru pembangkang. Tersepit antara tekanan politik dan kehendak rakyat. Terhimpit antara nafsu kuasa parti sekutu dan derai air mata rakyat.

49. Namun inilah sebenarnya peranan dan fungsi parti kita. Ingat ! Sehebat mana pun jeneral di medan perang, akhirnya dia harus kembali merujuk kepada pengkalan. Sehebat mana pun tentera di lapangan, di markas juga akhirnya dia pulang. Sejauh laut mana pun kapal menyeberang, dia masih akan terpaksa mudik kembali ke pelabuhan.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan tidak sewajarnya orang-orang mukmin itu semuanya keluar (ke medan perang). Mengapa tidak sebahagian daripada mereka berperanan memperdalami pengetahuan agama mereka, yang dengannya mereka mampu memberi peringatan kepada kaumnya (sebahagian yang keluar ke medan) apabila mereka telah kembali, agar mereka dapat menjaga diri.”

*50. Inilah orientasi perjuangan berteraskan suluhan Ilahi yang menggariskan konsep ‘medanpengkalan’. Yang berada di pengkalan sentiasa memperhalusi gerak-kerja, menekuni setiap strategi dan memperdalami ilmu bagi memandu mereka yang bertarung di medan perbatasan. Manakala yang berada di medan pula, harus setia berjuang bersandarkan MANDAT tanpa sesekali cuba membakar jambatan yang bakal mengembalikannya ke pengkalan.

51. Inilah yang menjadi orientasi UMNO hari ini. Kerana buat kali pertama dalam sejarah, Ketua kerajaan dan ketua parti adalah dua individu berbeza. Justeru, Perdana Menteri dan MenteriMenteri di medan memegang MANDAT dan amanah parti untuk mengurus urusan rakyat, mentadbir maslahah negara dan Kerajaan. Sementara kepimpinan parti pula memperkukuhkan pengkalan, membangunkan kader-kader pejuang dan melakarkan garis panduan buat pedoman barisan yang berada di medan.

52. Jika semua faham kedudukan dan tanggungjawab masing-masing, parti akan bertambah kuat dan kukuh. Tidak perlu menari ikut irama musuh, tidak timbul sama sekali label-label murahan seperti Kluster Menteri, Kluster PWTC, Kluster Royale Chulan, Kluster Putrajaya, Kluster menang ataupun Kluster Kalah yang hanya akan memecah-belahkan sesama kita. Yang ada hanyalah satu kluster iaitu Kluster UMNO!

53. Maka janganlah pula ada di antara kita yang nak jadi batu api, batu ronson, tukang cucuk, tukang kipas, tukang bakar kepada ‘Bos’ masing-masing, mengadu-domba, menghasut, kononnya atas alasan nak jaga ‘Bos’ tapi hakikatnya mereka inilah sebenarnya gunting dalam lipatan, api dalam sekam, merosakkan ‘Bos’ hingga tergamak membakar jambatan dan menghancurkan institusi.
(Setuju?)

Bila berjalan ke Pantai Remis,
Dalam senyum rakam cerita,
Bila berhadapan mulutnya manis,
Dalam diam menanam tuba.


Sidang perwakilan pemuda sekalian,
MENJAMIN KESTABILAN MANDAT

54. Tuntasnya dalam tempoh empat (4) tahun semenjak kejatuhan Kerajaan BN, lanskap politik negara amat tidak stabil. Malaysia mencatat sejarah mempunyai tiga (3) Perdana Menteri dan tiga (3) Kerajaan memerintah bersilih ganti. Semua ini bermula daripada pengkianatan kepada MANDAT rakyat sehingga prinsip demokrasi terus menerus dicabuli dan dikhianati.

55. Politik dendam yang membunuh seteru politik bagaikan menjadi fenomena biasa setiap kali berlakunya perubahan tampuk kuasa. Sistem perundangan negara pula diperkosai sewenangnya sehinggakan institusi peguam negara mudah dimanipulasi oleh sang penguasa.

56. Sekutu politik dilepaskan pendakwaan malah kes-kes yang sedang dibicarakan pun boleh ditarik balik begitu sahaja. Sedangkan seteru mereka ditekan, digasak, diugut dengan pelbagai pertuduhan dan pendakwaan politik semudahnya.

57. Tidak kurang juga fenomena lompat parti. MANDAT rakyat bagaikan barang mainan yang sudah tidak bernilai dan bererti. Setelah menang pilihanraya, ikatan dan pertanggungjawaban kepada rakyat tidak dipedulikan lagi. Tawaran dan ancaman dijadikan cagaran menghalalkan lompat parti.

58. Inilah yang dinamakan pengkhianatan kepada MANDAT rakyat. Rakyat dengan suci hati memilih wakil rakyat dengan penuh harapan untuk membela dan membawa suara hati mereka. Namun kepercayaan ini dikhianati dengan hanya tawaran berbentuk ganjaran ataupun ancaman berbentuk pendakwaan.

59. Pemuda berpendirian tegas dan keras, fenomena pengkhianatan dan pencabulan MANDAT rakyat tidak boleh lagi dikompromikan. Justeru, kestabilan MANDAT hanya boleh dijamin melalui komitmen parti untuk melakukan pembaharuan dan transformasi politik menyeluruh untuk negara.

60. Dengan ini, Pemuda mencadangkan tiga (3) agenda transformasi terhadap institusi dan penjernihan budaya politik negara yang harus disegerakan.

61. Pertama, Pemuda mencadangkan agar fungsi pendakwa raya dikeluarkan daripada peranan Peguam Negara, bagi menjamin kebebasan fungsi dan peranan pendakwa raya yang kini berada di bawah Jabatan Peguam Negara. Atas prinsip keadilan dan mengelakkan daripada konflik kepentingan terutamanya menyentuh pendakwaan politik terpilih, seorang Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri tidak wajar menasihati Kerajaan dan pada masa sama menggunakan kuasa bagi melakukan pendakwaan.

62. Kedua, Pemuda mendesak agar Akta Anti Lompat Parti dibahas dan diluluskan segera. Undang-undang ini adalah satu keperluan bagi memastikan rakyat kembali percaya kepada sistem demokrasi negara. Rakyat mesti diberikan keyakinan semula bahawa undi mereka bukanlah sia-sia. Negara ini mesti ditentukan nasibnya oleh rakyat dan bukannya oleh ‘222 elit politik’ dalam Dewan Rakyat. (Setuju?)

63. Ketiga, Pemuda menggesa agar kerajaan segera membentangkan Akta Pendanaan Politik. Melalui undang-undang ini, segala sumber kewangan parti wajar dilaporkan secara telus agar rakyat dapat memastikan tiadanya sebarang unsur rasuah mahupun salah guna kuasa.

64. Cukup banyak parti yang bermuka-muka. Kononnya parti mereka muda dan datang daripada denyut nadi jelata. Kononnya parti mereka segar dan dana mereka datang daripada simpati penyokong sahaja. Sedangkan kita tahu jutaan ringgit yang mereka belanja sebenarnya datang daripada cukong-cukong dan tauke-tauke yang melabur wang bagi menjadikan parti itu tunduk kepada kepentingan mereka semata-mata.

65. Justeru, tiga (3) agenda transformasi yang diangkat oleh Pemuda adalah atas kesedaran untuk kita kembali menjernihkan budaya politik, memelihara sistem demokrasi dan mempertahankan MANDAT rakyat.

66. Selain itu juga penjernihan budaya politik mesti segera dimulakan dengan menanam rasa benci dan jelik kepada sebarang bentuk korupsi, rasuah dan hipokrasi yang mencairkan integriti dan meruntuhkan nilai-nilai akhlak manusiawi.

67. Sebuah Kerajaan yang dibentuk tanpa integriti dan berkiblatkan kerakusan kuasa hanya akan mewujudkan huru hara dan kesengsaraan kepada rakyat jelata.

68. Kita mesti sedar bahawa landskap politik sudah berubah. Tiada lagi modal nostalgia tentang jasa-jasa kita membangunkan negara boleh mempengaruh undi generasi muda. Kita mesti faham bahawa jangkaan dan harapan rakyat semakin menggunung tinggi kepada pemimpin yang dipilih menerajui negara.

69. Generasi baharu, Undi 18 khususnya, sebenarnya mahukan integriti sebagai salah satu pertimbangan utama mereka dalam memilih pemimpin. Mereka mahukan wajah baru dan tiada liabiliti untuk digantungkan sepenuh impian. Mereka hendakkan satu pembaharuan imej secara menyeluruh supaya mereka boleh meyakini bahawa inilah parti yang boleh disandarkan segala harapan.

70. Orang muda sudah tidak teruja dengan janji-janji pembangunan. Mereka tidak minat dengan retorik politik yang bergegar-gegar. Cuba lihat bagaimana PRN Melaka dan yang masih panas lagi di PRN Johor. Rakyat memberikan kemenangan besar kepada kita lantaran tawaran polisi kestabilan yang jelas berserta calon-calon berwibawa dan berintegriti.

71. Pemuda juga merakamkan penghargaan tertinggi buat Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, YB Datuk Seri Ir Hasni bin Mohammad atas sumbangan menerajui Kerajaan Negeri Johor selama 2 tahun dan menjadi arkitek penting kemenangan manis majoriti 2/3 Barisan Nasional pada Pilihanraya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini. Jiwa besar YB Datuk Seri Utama yang membuka jalan dan mencadangkan buat pemimpin muda dari kilang Pemuda UMNO untuk memimpin Kerajaan Negeri adalah contoh sikap negarawan sejati.

[Saya minta sidang perwakilan untuk bangun memberikan tepukan gemuruh buat YB Datuk Seri Ir.
Hasni Mohammad] Saya juga minta semua perwakilan untuk memberikan tepukan semangat kepada Menteri besar muda kita, Yang Amat Berhomat Datuk Onn Hafiz, yang juga merupakan bekas pemimpin daripada kilang pemuda.

72. Wajah Pemuda berintegriti juga perlu terus diterjemahkan melalui pelbagai pendekatan menyantuni kerencaman anak muda secara berterusan di peringkat akar umbi cawangan-cawangan kita.

73. Ingat! Tidak semua anak muda ini satu aliran dan punya orientasi pemikiran dan kecenderungan yang serupa. Tidak semua ala ‘Bangsar Bubbles’ yang hanya selesa menghisap ‘vape’ di Coffee House atau melepak di Starbuck semata-mata. Kepelbagaian anak-anak muda inilah yang harus terus kita raikan dan dampingi di peringkat cawangan-cawangan seluruh negara sebagaimana yang diperlihatkan di Sabah, Melaka dan Johor. Ini kekuatan kita! Inilah kelebihan kita!

74. Seikhlasnya saya amat berbangga dan kagum dengan kepimpinan Pemuda di akar umbi daripada bahagian sehinggalah ke cawangan-cawangan. Istiqomah kita menyantuni anak muda yang pelbagai termasuk yang minat motor, sukan bola, takraw, kaki pancing, e-sport ternyata membuahkan hasil. Sehinggakan di hampir semua saluran anak muda di kedua-dua PRN Johor dan Melaka dimenangi calon-calon Pemuda UMNO dan BN. Syabas dan tahniah!

75. Ternyata antara faktor terbesar yang menyumbang kemenangan besar kita di Melaka dan Johor, antaranya adalah keberanian parti membariskan calon-calon pilihanraya dengan memberi ruang kepada muka-muka baru yang malar segar.

76. Di kesempatan ini, mewakili saf kepimpinan Pemuda, saya ingin memberikan setinggi penghargaan di atas kepercayaan Dato’ Seri Presiden Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berani menawarkan perubahan kepada pengundi. Di Sabah, kebiasaannnya Pemuda hanya mendapat satu kerusi. Tapi pada PRN dua (2) tahun lepas, Pemuda mendapat empat (4) kerusi. Di Melaka, kebiasaannya juga satu (1) kerusi. Tetapi kali ini diberikan Pemuda empat (4) kerusi. Di PRN Johor, daripada dua (2) kerusi, Pemuda bertanding lima (5) kerusi.

[Minta semua calon-calon Pemuda di Sabah, Johor dan Melaka Sila bangun: saya minta kalian tunduk tanda hormat kepada semua perwakilan yang berada di dalam dan di luar, kerana inilah jenterajentera parti yang bekerja kuat yang mengangkat dan memenangkan kalian.

[BUAT YB-YB PEMUDA! KALIAN MEMBAWA MANDAT PEMUDA. JAGALAH AMANAH YANG
DIBERIKAN, JAGA DIRI, JAGA INTEGRITI, JANGAN LUPA DARATAN. TERUSKAN MENYANTUNI,
MENYAYANGI RAKYAT DAN MEMBERIKAN KHIDMAT TERBAIK BUAT RAKYAT DI DUN MASINGMASING!]

Tempat berakit di Pengkalan Hulu,
Muara kecil lari ketepian,
MANDAT rakyat dikembalikan dahulu,
Negara stabil kembali aman.

Sidang perwakilan pemuda sekalian,

KEMBALIKAN MANDAT KEPADA RAKYAT

77. Apa yang telah saya bentangkan sejak dari awal ucapan, menjelaskan betapa besarnya nilai dan harga sebuah MANDAT. Seharusnya MANDAT mesti dihargai dengan sepenuh jiwa dan raga. Kerana kuasa rakyat dianggap keramat bukan disebabkan adanya kuasa ghaib di tangan rakyat, tetapi adalah kerana pemimpin mendapat kuasa berpunca daripada rakyat. Malangnya politikuspolitikus kini nampaknya sewenang dan semudahnya mempermainkan MANDAT.

78. Apabila MANDAT dikhianati, apabila mandat dicabuli, apabila mandate diperkosai, natijahnya negara tidak lagi stabil, malah rakyat pula yang melarat. 22 bulan di bawah PH, 18 bulan di bawah PN dan hampir 8 bulan di bawah PN 2.0, kestabilan negara masih belum pulih dan pertumbuhan ekonomi juga terus tersekat.

79. Maka kita tiada pilihan melainkan memulangkan kembali MANDAT kepada rakyat bagi mereka membuat pilihan. Tiada lagi sebarang alasan untuk kita menafikan hak rakyat menentukan kestabilan. Tiga (3) Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor, dapat dilaksanakan dengan selamat, tanpa masalah dan penuh ketertiban. Ini sejajar dengan peralihan negara ke arah fasa endemik.

80. Sebuah negara demokrasi memerlukan rakyat sebagai kata penentu keabsahan sesebuah Kerajaan. Hanya dengan MANDAT baru maka sebuah Kerajaan yang teguh dan stabil dapat didirikan.

81. Mana mungkin sebuah Kerajaan boleh stabil sekiranya pada setiap saat kita dipaksa mengikuti kehendak sekutu lebih daripada kepentingan rakyat. Mana mungkin sebuah Kerajaan itu boleh berfungsi dengan sempurna jika pada setiap masa kita terpaksa mengikut nafsu politik sesetengah pihak.

82. Mana mungkin sebuah Kerajaan campuran mampu bertahan kalau di dalamnya penuh dengan pemuka-pemuka yang berterusan meremeh dan menghina parti kita. Apa mereka tak kata kepada UMNO: Perompak, penyamun, itik patah kaki!

83. Cukup-cukuplah kita dihina dan dicerca! Pemuda tidak akan sesekali membenarkan UMNO terus dipersendakan oleh mana-mana pihak. Pemuda tidak akan sama sekali membiarkan UMNO terus dicemuh dan dihina!

84. Kita adalah UMNO! Kita punya maruah dan harga diri! Kita tidak hidup dengan belas ihsan pihak lain! Kita tidak bangun dengan memaut tongkat orang lain!

85. Tapi kita bangkit dengan kekuatan kita sendiri. Kita bangun menanam semula akar pemerintahan negara dengan acuan sendiri. Kita berdiri atas prinsip perjuangan membela agama, bangsa dan tanahair yang kita cintai.

86. Inilah UMNO. Kalau kita gila kuasa, sudah tentu kita isytiharkan darurat. Kalau kita gila kuasa sudah tentu kita gantung parlimen. Kalau kita gila kuasa, sudah tentu kita mandulkan demokrasi, sudah tentu kita jahanamkan institusi. Tapi itu bukan UMNO. Itu bukan kerja kita. Tetapi itu semua kerja daripada parti mana?

87. PH pun sama saja. Mereka tuduh kita Kerajaan pintu belakang. Mereka tuduh kita tidak hormat MANDAT rakyat. Tetapi bila kita mahu kembalikan semula MANDAT pada rakyat, mereka pula menggelupur, mencari-cari alasan menolaknya. Siapa sebenarnya tidak hormat pada pilihan rakyat? Siapa sebenarnya bacul tidak meyakini MANDAT rakyat?

88. Inilah wajah dan warna sebenar PH dan PN. Sedangkan UMNO berbeza. Kita bukan parti yang teringin dengan tawaran kerusi daripada kaki lompat parti. Malah kita tak berselera pun jika pengkhianat yang melarikan kerusi berhajat mahu kembali. Tapi kalau bersungguh mahu kembali, kita bersedia membuka pintu, tapi kenalah ikut giliran (“jangan pula nak masuk tapi syarat nak bertanding lagi!”)

89. Saya menyeru kepada barisan Pemuda. Bersedialah kerana gendang perang bakal berbunyi.
Medan juang akan kita tempuhi tidak lama lagi. Bersedialah untuk bermandi keringat, mengerah sepenuh tenaga tanpa alasan atau menurut hawa perasaan, kerana itu lebih baik daripada kita terpaksa bergenang air mata sekali lagi.

(*Penghargaan: Cikgu Hairi Labis, Kamal Kulai, Saidil Sekijang, Hafiz Sembrong, Joni di Ayer Hitam, Johan di Kota Tinggi, Helmi di Muar dan lain-lain).
Mereka tidak merajuk, malah merekalah yang mengerah keringat membantu calon-calon tidak kira wanita, puteri, parti komponen malah merekalah yang membuka PDM-PDM yang ditutup untuk memastikan kemenangan parti.

90. Jangan terpengaruh dengan usaha-usaha memaksa disegerakan pemilihan parti. Jika ada pemilihan sebelum pilihanraya, berapa ramai kepimpinan pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti? Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur yang tidak mengizinkan lagi. Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?

91. Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti! Mula kembali budaya bobrok lama membawa rombongan ke sana sini, menyusun jentera, membuat pelbagai gerakan untuk mencatur dan menjatuhkan sesama sendiri. Ingatlah, jika bahtera kita karam buat kali kedua, jawatan parti pun sudah tidak bernilai lagi.

92. Pemuda ingin mengusulkan kepada pimpinan tertinggi dan Perhimpunan Agong UMNO agar membuat pindaan perlembagaan parti seperti rakan komponen kita MCA supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali Pilihan Raya Umum. Ini bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.

93. Ingat pilihanraya akan datang adalah lebih besar geloranya. Ingat pilihanraya akan datang lebih besar cabarannya, bukan sahaja dengan fitnah lama, tetapi juga dengan tohmahan baru daripada dalam dan luar bahtera. Semuanya bagi memecah belahkan kita semua, melumpuhkan jentera kita dan akhirnya mengaut laba daripada kelemahan kita.

94. Tetapi percayalah wahai saudara-saudaraku generasi PEMUDA BANGKIT KEMBALI! Sesungguhnya nakhoda yang hebat tidak pernah lahir daripada laut yang tenang.

94. Yakinlah !! kalian adalah generasi terbaik yang pernah dilahirkan daripada rahim UMNO. Generasi yang mengerti betapa sukarnya jadi pembangkang, generasi yang merasai betapa susahnya berkongsi kuasa dalam Kerajaan campuran, generasi yang melalui betapa peritnya untuk bangkit kembali selepas dikhianati.

95. Wahai seluruh generasi Pemuda Bangkit Kembali. Kita telah bersama dari satu pertempuran ke satu pertempuran… Kita hadapi bersama cabaran demi cabaran… Kita takkan sesekali mengalah apabila telah melangkah… Kita berikrar dan berjanji untuk terus memperkasakan dan memenangkan wadah…

96. Wahai Para Pemuda Teras Kebangkitan. Adakah kita sedia memikul amanah parti andai diseru hari ini? Adakah kita rela berkorban andai gendang dipalukan hari ini? Adakah kita sanggup berjuang sepenuh jiwa dan raga andai Parlimen dibubarkan hari ini? Adakah kita setuju andai MANDAT RAKYAT DIKEMBALIKAN HARI INI?

97. Ayuh Pemuda bangkitlah bersama saya. Bersedialah kita sama-sama menyinsing lengan.. mengibar panji meniup semboyan… Ayuh kita julang mandat rakyat! Ayuh kita julang mandat rakyat! Ayuh kita julang mandat rakyat! Kita sama-sama tamatkan kecelaruan dan kerapuhan ni.. Kita sama-sama kembalikan negara kepada rangka kestabilan demi kemakmuran sejati, Demi maruah agama, bangsa dan tanah air.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.