Rintihan Dan Suara Rakyat Perlu Jadi Keutamaan, Kestabilan Paksi Kejayaan

KUALA LUMPUR, 17 Mac – UMNO perlu melihat secara mendalam segala rintihan dan segala apa yang diluahkan oleh rakyat yang hari ini rata-rata cukup terkesan dalam pelbagai sektor khususnya berkaitan kehidupan semasa.

Pencadang usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata hari ini dengan kenaikan harga barang ketika masing-masing mahu memulihkan serta menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi negara, soal berkenaan perlu diperjuangkan berterusan.

“Antara lain kita mencadangkan tangga gaji paling minimum RM1,500…kalau ada kenaikan seperti ini sekurang-kurangnya dapat membantu masyarakat di luar sana. Kenaikan harga barang membebankan rakyat.

“Sebab itu saya tidak faham dengan ‘Abahkau’ ini…dia ni Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Sepatutnya soal ekonomi ini beliaulah yang ‘fight’….tetapi tidak pula, yang diratib balik-balik kluster mahkamah…kluster mahkamah. Perompak…perompak itu yang diratibnya.

“Sebagai pemimpin yang baik dia sepatutnya tawarkan apa yang parti dia buat untuk negara..untuk rakyat dan bukannya serangan peribadi sedemikian rupa. Sepatutnya RM10,000 yang baharu sahaja diumumkan semalam beliau yang perjuangkan. Sebaliknya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi tidak putus-putus memperkatakan soal sedemikian. Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya yang juga Exco Pemuda UMNO.


Sementara itu, Setiausaha Pemuda UMNO Selangor, Datuk Noorazley Yahya yang merupakan penyokong usul ucapan dasar menegaskan rakyat hari ini secara umumnya mahukan kestabilan kerana ianya memberi manfaat yang amat besar kepada mereka dan juga negara.

Katanya lihat sahaja di Melaka serta Johor, kestabilan yang menjadi tema kepada manifesto di kedua-dua negeri berkenaan telah berjaya meyakinkan masyarakat di negeri berkenaan untuk membuat pilihan sebaiknya.

“Slogan ‘Kestabilan Masa Depan’ adalah ungkapan yang kita laungkan sebagai asas kempen kita di Johor. Konsep Kestabilan ini juga kita tawarkan di PRN Melaka, dengan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’, yang membawa kepada kemenangan besar kita di kedua-dua negeri berkenaan.

“Di sini dapat saya terjemahkan, bahawa rakyat hari ini benar-benar inginkan kestabilan politik yang gagal diberikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan. Jika kita lihat, lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah kita mampu menjaga suhu politik dan mengelakkan isu-isu besar yang mengganggu-gugat keharmonian dan kestabilan negara.

“Tetapi hanya 22 bulan di bawah Pakatan Harapan, bukan hanya negara bahkan keharmonian rakyat juga menjadi porak-peranda dek krisis-krisis dan drama politik mereka,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor itu.

Dalam ucapannya beliau turut mengulas mengenai kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baharu sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YAB Naib Presiden, atas pertimbangan untuk membenarkan pengeluaran khas RM10,000 daripada akaun KWSP.

“Sungguhpun begitu, saya juga berharap agar kerajaan memikirkan langkah bagi memastikan kebajikan pencarum di hari tua kelak, khususnya golongan yang bergaji rendah, tidak terjejas teruk akibat daripada pengeluaran ini.

“Misalnya, kerajaan boleh memperkenal insentif bagi caruman sukarela, untuk menggalakkan pencarum menabung semula di dalam akaun KWSP, apabila kehidupan mereka kembali stabil kelak,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.