Pilihan Raya Atau Pemilihan Parti Dahulu, Kepimpinan Disaran Bincang Sebaiknya

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pencadang Usul Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO, Datuk Haryati Hamdzah berharap kepimpinan tertinggi parti dapat mengambil keputusan yang tuntas mengenai masa depan parti keramat ini.

Katanya ini termasuk keputusan sama ada mahu melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15) terdahulu ataupun pemilihan parti.

“Untuk pemilihan parti atau pilihan raya dibuat dulu ibarat ayam dan telur, tiada kesudahan akar umbi memikirkannya. Saya mencadang, apapun keputusan, bincanglah elok-elok.

“Mesti pastikan parti kita menang. Rakyat selesa dengan kita. Rakyat bahagia. Kita adalah khalifah, dengan huruf hijaiyyah utama adalah kaf, lam, fa. Dari huruf itu juga, kita boleh menjadi khilaf,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka sebagai pencadang Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pagi tadi.

Haryati juga malah meluahkan kebimbangan beliau dengan segelintir daripada pemimpin parti seolah bertindak secara terbuka dalam memberikan kritikan.

“Ikhlas saya katakan, saya sedih melihat drama-drama pemimpin atasan. Bukankah kita ini satu pasukan? Kenapa perlu serang-menyerang, membangkit rasa benci?

“Saya simpati dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digelar, ditohmah. Luahan simpati ini juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengharungi kepayahan menyeimbangkan kuasa melalui perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) bersama parti pembangkang dengan sorak teriakan ahli parti yang memperlekehkan.

“Hakikatnya, bukan mudah mentadbir dalam krisis pandemik COVID-19 ini,” tegas beliau.

Sementara itu, bagi wakil dari Kedah, Datin Noor Hasita Mat Isa beliau juga berharap agar kepimpinan di peringkat pusat untuk mengutamakan pemimpin kanan dalam bahagian untuk dijadikan calon pada pilihan raya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah berkata ini kerana mereka merupakan penduduk tempatan malah sentiasa kehadapan dalam memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

“Cuma satu Wanita nak ingatkan, kepada pemimpin atasan tolonglah utamakan dahulu pemimpin-pemimpin kanan dalam kawasan.

“Kerana merekalah yang banyak berkhidmat dan lebih mengetahui berkenaan kawasan. Kepada orang2 yang perasan pulak janganlah cuba membuat hal. Habis pening pengundi dalam kawasan,” ujar beliau.

Bercakap mengenai pilihan raya Noor Hasita berpandangan prestasi wakil rakyat daripada Wanita juga adalah terbaik dalam menjalankan amanah yang diberikan pengundi.

“Berkenaan dengan calon, kepada pemimpin atasan tolonglah tengok-tengokkan sama kepada calon Wanita.

“Saya yakin semua ketua-ketua Wanita yang dok ada di depan kita semua layak jadi calon bagi saya dok berkira apa. Lagipun pada masa sekarang prestasi wanita sebagai wakil rakyat juga nampaknya tidak dapat di pertikaikan lagi. Prestasi mereka sentiasa cemerlang,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.