Pemuda UMNO Terus Pelopori Agenda Kepentingan Dan Kebajikan Rakyat – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 17 Mac –  Pemuda UMNO terus mempelopori agenda kepentingan dan kebajikan rakyat sehingga ke hari ini meskipun pada satu ketika sejurus selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu pelbagai tohmahan dilontarkan terhadap pergerakan berkenaan.

Setiausahanya Datuk Hasmuni Hasan berkata Pemuda Jurubicara Rakyat dan Pemuda Bantu Rakyat bukan sahaja sekadar slogan malah ianya dibuktikan dengan kelibat anak-anak muda bersama masyarakat yang ditimpa kesusahan.


“Pemuda UMNO jua lah yang meneruskan usaha mempelopori dua agenda utama ini. Pemuda UMNOlah yang memperjuangkan isu pengeluaran caruman KWSP, menjadi benteng dalam mempertahan isu ICERD, dan mendesak penjualan aset-aset negara termasuklah penjualan aset Tabung Haji.

“Inilah penampilan wajah Pemuda yang semakin dijulang rakyat dan dihormati peranannya diseluruh negara. Kita juga perlu berbangga dengan peranan yang dilaksanakan oleh Pemuda UMNO dalam agenda Pemuda Bantu Rakyat.

“Manakan saya mampu menyebut kesemuanya, tetapi Pemudalah yang banyak mengorbankan masa, keringat dan tenaga,mengeluarkan wang sendiri demi kebajikan kesejahteraan rakyat semua. Semasa COVID-19 melanda, Pemuda UMNO membantu rakyat dengan pelbagai cara. Menghantar bantuan makanan ketika rakyat sedang dalam sengsara. Memberikan khidmat sanitasi dari rumah ke rumah, bagi memberi keyakinankepadarakyat untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Meneruskan ucapannya, beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas atas kemenangan yang dicapai oleh parti pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor baru-baru ini.

“Tahniah dan syabas atas semangat dan kerja keras kita semua dalam parti UMNO yang kita dukung sebagai parti yang tradisinya membela rakyat. Uniknya, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam kedua-dua Pilihan Raya Negeri tersebut berlaku apabila kita melaksanakan perubahan yang drastik dan berani iaitu mengetengahkan ‘muka baharu dan orang muda’ yang agak ramai. Ini menunjukkan bahawa UMNO / BN benar-benar dinamik dan lentur dengan kepekaan rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.