Pemuda Mahu Lebih Ramai Calon Muda Diketengahkan Dalam PRU

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Beberapa perwakilan daripada Pergerakan Pemuda UMNO hari ini meminta supaya lebih banyak golongan muda diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Rata-rata pandangan pada sesi perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda di sini berkata ia berikutan peningkatan golongan pengundi muda susulan pelaksanaan pengundi berusia 18 tahun ke atas.

Setiausaha Pemuda UMNO Selangor Datuk Noorazley Yahya berkata negara menyaksikan gelombang perubahan demografi pengundi dengan segmen pengundi terbesar adalah orang muda.

“Pada hari ini, 58 peratus jumlah pengundi adalah mereka berumur di bawah 40 tahun. Jumlah ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Jadi perlu meletakkan Pemuda UMNO sebagai benteng utama parti untuk mendepani gelombang perubahan besar ini,” katanya.

Senada dengan Noorazley, perwakilan UMNO Siswa Muhammad Izzat Hakim Mohd Noh pula berkata dalam persediaan menuju PRU15, perkara penting yang perlu difahami oleh parti adalah menyakinkan pengundi muda untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kejayaan dalam beberapa siri PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini membuktikan pengundi mahukan pemimpin yang baharu dan segar daripada UMNO dan BN,”katanya.

Ketua Pemuda UMNO Jerlun Hayazi Azizan dan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, masing-masing menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberikan peluang untuk golongan muda bertanding dalam beberapa pilihan raya lepas.

“Kepercayaan yang diletakkan pimpinan kepada Pemuda telah disempurnakan dengan menyumbang kepada kemenangan parti,” kata Mohd Zaidy. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit